Percepat RUU Anti Lompat Parti, elak lebih ramai lompat parti

Ahmad (empat dari kanan) meninjau pembinaan Masjid Jamek Kampung Parit Mokhayat, Ayer Baloi Pontian pada Jumaat.
Ahmad (empat dari kanan) meninjau pembinaan Masjid Jamek Kampung Parit Mokhayat, Ayer Baloi Pontian pada Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - [DIKEMASKINI] Kerajaan diminta segera mempercepatkan pelaksanaan Rang Undang-Undang ( RUU ) Anti Lompat Parti bagi mengelak kejadian lompat parti berulang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, RUU Anti Lompat Parti yang dilihat seakan dilengah-lengahkan itu menyebabkan seorang ahli parlimen yang bertaraf menteri meninggalkan partinya iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) beralih kepada Parti Bangsa Malaysia (PBM).

"Sebenarnya boleh dibuat jika ada persetujuan Perdana Menteri dan kabinet bagi mengadakan persidangan khas, sementara menunggu bulan Julai, kerana dikhuatiri ada lagi yang melompat.

“Ketidakstabilan ini dilihat hanya boleh diselesaikan melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya ada pihak dilihat lebih mempunyai agenda peribadi daripada menjaga kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pembinaan Masjid Jamek Kampung Parit Mokhayat, Ayer Baloi, di sini pada Jumaat.

Ahli Parlimen Pontian itu juga membayangkan sekiranya sidang khas Parlimen dibuat pada bulan Jun, ia akan mempercepatkan langkah membendung perbuatan lompat parti dari berterusan.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti sudah dimuktamadkan Jawatankuasa Pilihan Khas dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya 18 Julai ini.

Menurut beliau, jawatankuasa akan bermesyuarat minggu depan untuk meneliti laporan penuh cadangan itu sebelum dibawa ke Parlimen selepas lima kali mesyuarat diadakan.

RUU Anti Lompat Parti ini akan membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 10, 48, dan penggubalan Artikel 49(a) dan pindaan juga akan dibuat dalam Perkara 160 dan Jadual Lapan dalam Perlembagaan Persekutuan.