Warga Perancis ditahan bersama perahu layar

Perahu layar digunakan lelaki warga Perancis untuk memasuki negara ini.
Perahu layar digunakan lelaki warga Perancis untuk memasuki negara ini.
A
A
A

MERSING - Seorang lelaki warga Perancis yang dipercayai memasuki perairan negara dengan menggunakan perahu layar ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah memasuki negara, pada Khamis.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan dalam satu rondaan kira-kira jam 12.45 tengah hari di kedudukan 1.6 batu nautika timur dari muara Sungai Mersing.

“Lelaki yang juga nakhoda bersama perahu layar asing ini ditahan kerana dipercayai memasuki perairan negara secara haram serta tidak melaporkan ketibaan memasuki perairan negara.

“Pemeriksaan kemudiannya mendapati lelaki ini juga telah mengemukakan dokumen perjalanan tanpa sebarang cop kemasukan ke negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Khairul Nizam berkata, lelaki berkenaan bersama perahu layar dinaikinya seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1952.

“Suspek juga akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal melaporkan ketibaan sejurus memasuki perairan Malaysia kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Maritim Malaysia Negeri Johor akan terus mempergiatkan penguatkuasaan di laut bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negeri Johor terpelihara,” katanya.