X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Agong, Permaisuri ucap tahniah kepada Guru Berdedikasi Cambridge

Seri Paduka menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Khalifa Affnan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. - Foto sumber Facebook Istana Negara
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada guru Kolej Vokasional Keningau Sabah, Khalifa Affnan yang dinobatkan sebagai pemenang global Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022.

Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Khalifa yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Seri Paduka berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang ini menjadi suntikan semangat kepada beliau dan juga rakyat untuk terus bekerja keras dan mencapai kejayaan pada masa hadapan di bidang masing-masing.

"Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Khalifa Affnan dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan. Syabas dan tahniah,” menurut hantaran itu.

Khalifa melakar sejarah negara setelah muncul guru Malaysia pertama terpilih merangkul anugerah berkenaan dan juga terdahulu di peringkat serantau, atas pencapaiannya dalam mencetuskan satu projek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Beliau dinobatkan sebagai pemenang selepas menewaskan 7,000 peserta lain dari 113 negara. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!