X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Utamakan jaminan, keselamatan makanan

Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bersama isteri Toh Puan Datin Seri Khadijah Mohd Nor pada perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang perlu mengutamakan jaminan atau keselamatan makanan dalam memastikan sumber makanan penduduk berada pada tahap yang optimum serta pengguna mendapat bekalan makanan yang selamat, mencukupi dan bersih.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata, program keselamatan makanan wajar diberikan tumpuan agar Pulau Pinang dan penduduk dapat berdepan cabaran inflasi atau hiperinflasi yang menjadi topik hangat perbincangan penganalisis ekonomi masa ini.

Menurutnya, berdasarkan Indeks Harga Pengguna Malaysia yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan, inflasi negara pada Mac lalu meningkat 2.2 peratus kepada 125.6 peratus berbanding 122.9 peratus pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, kenaikan itu adalah melepasi purata inflasi negara Malaysia bagi tempoh 2011 hingga Mac 2022 (1.9 peratus).

"Peningkatan inflasi Negeri Pulau Pinang adalah pada kadar 2.2 peratus iaitu sama dengan inflasi negara dan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol mencatatkan kenaikan 3.5 peratus disebabkan oleh kenaikan harga makanan di luar rumah pada Mac 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

"Tinjauan Pasaran Komoditi oleh Laporan Bank Dunia juga memberi amaran kenaikan harga sumber tenaga akan menimbulkan risiko inflasi ketara dalam pasaran dan negara membangun yang mana telah meningkatkan kos input pertanian dengan ketara.

"Oleh itu, program keselamatan makanan wajar diberikan tumpuan," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 pada Jumaat.

Tambah beliau, Pulau Pinang mampu meningkatkan produktiviti tanaman melalui penggunaan varieti tanaman yang mengeluarkan hasil tinggi dalam tempoh masa yang singkat, penggunaan input pertanian, aplikasi teknologi moden yang tidak menggunakan tanah walaupun Pulau Pinang tidak mempunyai tanah pertanian yang luas.

"Sebagai contoh, hasil pengeluaran padi yang direkodkan oleh Pulau Pinang merupakan antara pengeluaran hasil tertinggi di Malaysia.

"Pengeluaran padi dari Pulau Pinang pada 2020 telah menduduki tempat pertama dengan purata hasil pengeluaran padi sebanyak 5.214 metrik tan per hektar berbanding 5.012 metrik tan per hektar direkodkan pada tahun 2019.

"Pada tahun ini pula, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang menyasarkan purata hasil pengeluaran padi dapat ditingkatkan kepada 6.2 metrik tan per hektar.

"Begitu juga dengan ternakan ikan dalam sangkar di mana Pulau Pinang merupakan pengeluar ikan sangkar yang tertinggi di Malaysia bagi tiga tahun berturut-turut iaitu 2019, 2020 dan 2021 dengan pengeluaran sebanyak 12,039.45 metrik tan dengan nilai RM260.8 juta dicatatkan melibatkan 226 orang penternak bagi tahun 2021," katanya.

Ahmad Fuzi turut menekankan bahawa peranan dan penyertaan aktif syarikat swasta amat diperlukan terutama bagi pertanian berskala besar dan berteknologi tinggi bagi memastikan kelestarian dan transformasi sektor pertanian.

"Sektor swasta juga bertindak sebagai ejen perubahan atau pemangkin sektor pertanian yang moden, dinamik dan berdaya saing.

"Bagaimanapun, pelaburan swasta dalam industri agromakanan masih kurang jika dibandingkan dengan industri perladangan, pembuatan dan perkhidmatan.

"Dalam hal ini, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah penting bagi mengenal pasti ruang dan peluang pembangunan sektor pertanian," katanya.

Dalam meningkatkan sektor makanan, beliau mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbahas dan memberi cadangan bernas.

"Ia bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil tindakan yang konklusif dan langkah jangka panjang mengatasi masalah lalat yang berisiko menjejaskan kesihatan awam di Seberang Perai Selatan, hasil daripada pelaburan pihak swasta dalam bidang agromakanan dan ternakan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!