Kapal tangki Vietnam ditahan, bersauh tanpa kebenaran

Kapal tangki Vietnam ditahan kerana disyaki berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Kelesa di sini, pada Khamis
Kapal tangki Vietnam ditahan kerana disyaki berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Kelesa di sini, pada Khamis
A
A
A

KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki yang bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur di sini, pada Khamis.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal tangki berdaftar dari Vietnam itu ditahan kira-kira jam 3.20 petang di kedudukan 22.6 batu nautika timur laut Tanjung Kelesa di sini.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal berkenaan telah dikendalikan 24 kru lelaki terdiri daripada 19 warga Vietnam dan lima warga Myanmar berusia lingkungan 22 hingga 55 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bagaimanapun, ketika siasatan dibuat, nakhoda kapal telah didapati gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Mohd Najib berkata, nakhoda bersama seorang kru kapa berkenaan kemudiannya dibawa ke Pengkalan Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang mana boleh memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Maritim Malaysia akan terus memantau dan memastikan perairan negeri Johor bebas dari sebarang cubaan bersauh tanpa kebenaran,” katanya.

Jelasnya, pemilik atau pengusaha perkapalan juga dinasihatkan mendapatkan untuk sentiasa mendapatkan kebenaran Jabatan Laut Malaysia terlebih dahulu sekiranya menjalankan aktiviti mahu pun berlabuh di perairan negara ini.