X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Monyet serang kampung, gigit penduduk

Penduduk Kampung Tian mendakwa diserang dan digigit sekumpulan monyet ketika sedang tidur di rumah. (Gambar hiasan)
A
A

SIBU - Penduduk Kampung Tian dalam daerah Matu, kira-kira 115 kilometer ke barat dari sini, berada dalam ketakutan sejak dua minggu lepas setelah lapan daripada mereka mendakwa diserang dan digigit sekumpulan monyet ketika sedang tidur di rumah mereka.

Penghulu kampung itu, Saleh Napi berkata, maklumat yang diperoleh daripada penduduk yang menjadi mangsa serangan menunjukkan kumpulan primat itu memasuki kediaman penduduk menerusi tingkap rumah yang tidak ditutup rapat.

"Tidak diketahui apa punca monyet-monyet ini bertindak agresif dan menyerang penduduk kampung terlibat yang berusia dalam lingkungan 40-an hingga 80-an. Mereka mengalami luka di beberapa bahagian badan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, kesemua mangsa telah mendapat rawatan di klinik kesihatan kampung itu dan setakat ini kecederaan yang dialami mereka dikatakan tidak serius.

Menurutnya, memang terdapat monyet-monyet kelihatan berkeliaran di kawasan kampung itu sebelum kejadian, namun kumpulan haiwan itu melarikan diri dan bersembunyi apabila terserempak dengan penduduk kampung.

Saleh berkata, ekoran insiden itu penduduk kampung mengambil langkah berjaga-jaga dengan ada dalam kalangan mereka memasang perangkap di kawasan strategik yang berhasil menangkap seekor monyet.

Katanya, kejadian itu turut dilaporkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) yang telah bertindak menghantar satu pasukan untuk memasang perangkap.

"Kita juga telah melaporkan kejadian itu kepada pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mendapatkan bantuan,” tambahnya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!