X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Kisah tiada ayam bukan lagi satu gurauan

Krisis bekalan makanan bukan isu kecil atau bahan gurauan.
A
A

DILAHIRKAN sebagai anak kampung yang susah dan adik-beradik ramai, Merak Jalanan sudah terbiasa hidup dalam keadaan serba kekurangan termasuk makanan dicatu setiap kali waktu makan. Kami akan tunggu emak agih-agihkan makanan dalam pinggan.

Apa juga makanan diberi sama banyak untuk setiap orang tanpa ada sedikit pun perbezaan.

Ikan goreng separuh untuk makan tengah hari, separuh lagi disimpan untuk makan malam. Nak merasa masakan ayam jauh sekali. Tiada rungutan, tiada siapa cemburu atau gaduh tidak cukup makan.

Sekarang ini golongan peniaga dan pengguna kecoh mengenai masalah bekalan ayam. Apabila timbul masalah tak cukup bekalan makanan, memang hura-hara jadinya.

Peniaga pasar basah pening kepala memikirkan tentang bekalan ayam sedangkan permintaan tinggi.

Pengguna pula kecewa kerana terpaksa balik dengan tangan kosong kerana hajat nak makan ayam tidak kesampaian.

Kita semua kena faham ini masalah keperluan untuk satu negara, bukan masalah satu rumah semata-mata. Malah isu adalah isu satu dunia!

Dalam hal ini, Merak Jalanan sokong 100 peratus tindakan kerajaan mansuhkan permit import (AP) ayam dan menghentikan eksport 3.6 juta ekor ayam setiap bulan mulai 1 Jun supaya bekalan untuk rakyat negara ini mencukupi.

Itulah yang sebaik-baiknya. Apa pun tindakan yang dibuat mestilah dahulukan keperluan rakyat. Apatah lagi ayam adalah antara sumber utama protein rakyat. Ikut statistik, keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak dua juta ekor sehari atau 62.9 juta ekor sebulan!

Justeru, kita tak mahu lagi dengar ada suara-suara sumbang yang buat kenyataan suruh rakyat berhenti makan ayam.

Krisis bekalan makanan ini bukan isu kecil atau bahan gurauan. Ia bukan soal tidak perlu makan. Begitu juga isu harga. Apabila harga melambung, rakyatlah yang paling terkesan. Jangan jadikan rakyat mangsa keadaan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!