'Cabaran baharu dalam karier'

Irfan Zakaria - Foto Kuala Lumpur City
Irfan Zakaria - Foto Kuala Lumpur City
A
A
A

PERTAHANAN kiri Kuala Lumpur City (KL City) FC diakui cukup terkesan tanpa kelibat Daniel Ting dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim ini, menyaksikan pengendali The City Boys, Bojan Hodak melakukan beberapa percubaan taktikal di bahagian tersebut.

Hodak tampil menggunakan berapa pemain seperti Declan Lambert dan Nabil Hakim Bokhari, yang akhirnya menyaksikan Irfan Zakaria sebagai penyelesaian kepada masalah juara Piala Malaysia 2021 tersebut.

Lantaran itu, Irfan mengakui bukan satu masalah untuk menyesuaikan diri dengan peranan baharunya dalam pasukan walaupun tidak pernah beraksi di posisi berkenaan sebelum ini.

“Memang terasa dengan ketiadaan Daniel Ting kerana dalam pasukan, kita tiada pemain yang sememangnya bermain asal di posisi pertahanan kiri.

“Declan pula tidak pernah bermain posisi pertahanan kiri kerana semasa di luar negara, dia beraksi sebagai pertahanan kanan, jadi sememangnya kami terkesan.

“Jurulatih ada terapkan beberapa formasi baharu dalam pasukan dan kami sentiasa cuba untuk ikut, termasuk saya diletakkan di bahagian pertahanan kiri.

“Saya ambil tanggungjawab ini sebagai satu cabaran baharu dalam karier dan akan cuba pastikan mampu memikul tugasan diberikan jurulatih,” katanya.

Untuk rekod, Irfan sebelum ini bermain di posisi pertahanan tengah selain pernah diletakkan selaku pemain tengah bersama KL City.

Bermain sebagai pertahanan kiri, Irfan berjaya memikul tugasan dengan baik dalam beberapa perlawanan terakhir di Liga Super bersama KL City.

Dalam pada itu, Irfan menjelaskan dia selesa beraksi selaku pertahanan kiri walaupun ada sedikit terasa kelainan pada pertama kali diarahkan Hodak bermain di posisi terbabit.

“Lama kelamaan saya semakin serasi bermain selaku pertahanan kiri dan sudah semakin tidak terasa sebarang kelainan. Jika bermain selaku pertahanan tengah, mungkin lebih terbuka kawasan yang saya perlu jaga.

“Namun,sebagai pertahanan kiri,saya hanya perlu berikan tumpuan di bahagian kiri dan sedikit sebanyak buatkan saya lebih senang berikan fokus di atas padang,” katanya.