Selepas henti eksport ayam, apa seterusnya?

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A
A

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil keputusan tepat menghentikan sementara eksport ayam ke luar negara susulan isu kekurangan bekalan dalam negara.

Walaupun ada pihak kurang senang dengan langkah drastik itu, namun keputusan tersebut melegakan pengguna. Mana mungkin keperluan negara lain didahulukan ketika rakyat sendiri terpaksa mencatu makan apabila ada peniaga mengehadkan pembelian satu atau dua ekor ayam sahaja kepada setiap pembeli.

Masalah tiada bekalan ayam mungkin lucu bagi mereka yang tidak terkesan namun merupakan masalah besar kepada mereka yang punya anak ramai atau peniaga dan pengusaha katering.

Isu bekalan ayam ini telah dibangkitkan sejak beberapa bulan lalu dan kerajaan sebelum ini sudah mengambil beberapa langkah sebagai tanda prihatin kepada isu rakyat.

Antaranya memperkenalkan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) dan penetapan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram.

Secara tidak sedar, ia telah menimbulkan beban dalam kalangan peniaga pula yang mendakwa terpaksa menanggung rugi apabila harga yang ditetapkan pembekal adalah tinggi.

Sekitar Ramadan lalu, Sinar Harian ada membuat tinjauan di Pasar Borong Selangor dan terkejut apabila ada peniaga mendakwa ayam dibeli daripada pembekal antara RM8.50 hingga RM10 sekilogram tapi terpaksa dijual pada harga RM8.90 kepada pengguna.

Tidak dapat dipastikan kebenaran di sebalik dakwaan tersebut namun mungkin ada betulnya.

Ini berdasarkan keluhan dalam kalangan penternak yang memaklumkan makanan ternakan ayam atau dedak telah meningkat sebanyak empat kali dalam tempoh 11 bulan.

Import bijirin jagung untuk makanan ayam sebelum pandemik Covid-19 adalah RM1,000 satu tan dan kini meningkat kepada RM2,600.

Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu memainkan peranan utama mencari jalan penyelesaian isu bekalan dan harga ayam bagi mewujudkan situasi menang-menang untuk semua pihak.

Banyak pihak terjejas setiap kali berlaku isu bekalan dan harga ayam tidak stabil yang bermula daripada penternak, pemborong, peniaga sehingga kepada pengguna.

Ada pihak berpendapat industri penternakan perlu diletakkan di bawah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bagi mengelakkan isu monopoli.

Kerajaan juga perlu memberi bantuan khas kepada penternak dan peniaga supaya operasi mereka tidak terjejas sekiranya ada pihak yang cuba memanipulasi isu bekalan.

Pelan jangka panjang

Selepas henti eksport ayam, apakah strategi kerajaan seterusnya kerana itu hanya penyelesaian jangka masa pendek?

Dalam hal ini, kerajaan perlu merangka pelan jangka masa panjang bagi menghadapi isu kekurangan bekalan.

Sekarang negara bukan hanya dibebani dengan masalah bekalan ayam tetapi ikan, daging, sayur dan tepung gandum turut dibebani isu sama.

Jika harga terus meningkat dikhuatiri akan timbul isu kurang nutrisi dan kelaparan dalam negara.

Malaysia terkesan dengan isu bekalan kerana kebergantungan negara kepada import makanan.

Walaupun Malaysia mempunyai tanah subur untuk bercucuk tanam namun negara belum mampu memenuhi permintaan pengguna.

Untuk sayur dan buah-buahan sahaja, kerajaan membelanjakan RM7.5 bilion setahun untuk import. Halia, cili dan kubis juga diambil dari luar negara.

Sebelum ini, sudah ada kempen pertanian bandar namun kempen itu kurang mendapat sambutan ekoran tanah terhad dan kekangan masa.

Pada pandangan saya, sekarang adalah masa sesuai sektor pertanian dan penternakan dirancakkan semula. Penggunaan tanah kosong perlu dioptimumkan untuk projek pertanian dan bukan kepada projek pembangunan semata-mata.

Tambahan pula, projek pertanian dan penternakan dapat membantu mencipta peluang pekerjaan di samping mengatasi isu kekurangan bekalan. Ini dapat direalisasikan dengan inovasi dan penggunaan teknologi moden dalam pertanian.

Kosnya mungkin tinggi, tetapi di sinilah peranan kerajaan memberi suntikan modal menerusi subsidi sebagai galakan.Bagi mencapai matlamat, projek yang dijalankan perlu dipantau dan berkekalan, bukan hanya projek semusim atau sekadar memenuhi kuota senarai penerima subsidi kerajaan.

* Norafiza Jaafar ialah wartawan Sinar Harian