Kesedaran semakin pudar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MANUSIA mudah terkesan dengan sesuatu yang dikaitkan dengan penyakit. Kita akan bimbang apabila orang yang dikatakan bergejala duduk hampir dengan kita.

Namun, bagaimana jika orang yang berpenyakit itu tidak mempunyai sebarang simptom atau gejala dan ia adalah penyakit berjangkit?

Penyakit berjangkit adalah fenomena biososial yang wujud dari dahulu hingga kini. Fenomena ini akhirnya membawa kepada pelbagai implikasi sosial, ekonomi dan politik apatah lagi jika diisytiharkan sebagai pandemik.

Pandemik yang pernah melanda manusia sepanjang sejarah memberi kesan sehingga hari ini.

Influenza, batuk kering, HIV, kusta, cacar, taun dan banyak lagi penyakit berjangkit yang muncul ribuan tahun dahulu masih menjadi ancaman kepada dunia sekarang.

Black Death, Selesema Sepanyol, wabak Justinian dan AIDS merupakan pandemik berskala besar yang pernah melanda populasi dunia.

Covid-19 yang menyerang dunia sejak dua tahun lalu juga masih berleluasa. Terbaharu, cacar monyet pula ditemui di beberapa negara dan terkini di Australia.

Kini, Malaysia dikejutkan dengan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sebanyak 20 kali ganda dengan 47,209 kes setakat 21 Mei lepas berbanding hanya 2,237 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 15,548 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 20/2022 yang berakhir pada 21 Mei, menunjukkan peningkatan 106.6 peratus, berbanding ME sebelumnya dengan hanya 7,526 kes di seluruh negara.

Setiap statistik yang didedahkan mengejutkan kita semua, namun sejauh manakah usaha dalam menangani penyakit-penyakit ini kita lakukan sepenuhnya.

Dalam isu Covid-19 misalnya, kelonggaran pemakaian pelitup muka nampaknya telah diambil kesempatan oleh sesetengah pihak ketika berada di dalam premis termasuk lif.

Penjarakan sosial sudah tidak diambil peduli lagi. Bersesak-sesak di dalam lif sudah kembali menjadi amalan biasa.

Paling mengejutkan apabila ada ibu bapa yang sanggup membawa bayi yang masih berbedung jalan-jalan dan makan-makan di pusat beli-belah.

Jika belum sedar dan enggan bertindak, apalah maknanya kegusaran kita terhadap peningkatan angka kes yang diumumkan kerajaan.