Sila log masuk terlebih dahulu.

Malaysia-Thailand perkukuh kerjasama pertahanan, kesiapsiagaan tentera

Hishammuddin (kanan) menerima kunjungan hormat daripada Prawit Wongsuwan di Kementerian Pertahanan hari ini. Foto Bernama
Hishammuddin (kanan) menerima kunjungan hormat daripada Prawit Wongsuwan di Kementerian Pertahanan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Thailand bersetuju mengenai kepentingan kedua-dua negara untuk mengekal dan meningkatkan hubungan pertahanan yang erat di semua peringkat bagi mengelak eksploitasi sempadan bersama disebabkan tindakan keganasan dan pelampau ekstremis.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dalam perbincangannya dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prawit Wongsuwan, di Kementerian Pertahanan di sini hari ini, mereka membincangkan isu kepentingan bersama bagi mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan sedia ada antara Malaysia dan Thailand.

Beliau berkata kedua-dua Tentera Darat Malaysia dan Tentera Diraja Thai telah bersetuju untuk membina dua pos Kawalan Terkoordinasi (CBP) baharu yang dijangka siap tahun ini, bagi memerangi jenayah rentas negara dan penyeludupan.

"Kita juga akan meningkatkan kerjasama tentera-tentera antara Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Tentera Diraja Thai dalam bidang latihan, kursus dan latihan bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Prawit juga amat menyokong cadangan Malaysia untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dalam Kawalan Selat Melaka (MSP) menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Segiempat dengan penyertaan Menteri-Menteri Pertahanan dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

"Kerjasama ini merupakan peluang berharga bagi para pemimpin untuk bertukar-tukar pandangan sambil memberikan panduan ke arah operasi masa depan MSP, dan kami tidak sabar menanti Thailand sebagai tuan rumah mesyuarat sulung MSP," katanya.

Menurutnya, mereka turut membincangkan keselamatan makanan dan kesan gangguan rantaian bekalan akibat pandemik COVID-19.

"Kita juga bersetuju agar agensi dan kementerian berkaitan meningkatkan kerjasama dan terus mengukuhkan keselamatan makanan Malaysia dan Thailand untuk kekal stabil dalam semua keadaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hishammuddin berkata perbincangan itu turut menyentuh antara lain mengenai pembangunan beberapa projek infrastruktur utama di kawasan sempadan iaitu jajaran jalan yang menghubungkan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Bukit Kayu Hitam (BKH) Sadao; Jambatan Persahabatan Antarabangsa; dan pembinaan dan penyelenggaraan satu penghalang di sempadan bersama Bukit Kayu Hitam/Dannok.

Menyedari sumbangan penting industri pertahanan dalam menyampaikan kesiapsiagaan ketenteraan, Hishammuddin berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementeriannya Datuk Seri Muez Abd Aziz, untuk mengetuai delegasi ke Thailand bagi meningkatkan kerjasama dan sinergi antara kedua-dua negara.

Beliau berkata hasil daripada isu yang dibincangkan yang memerlukan kerjasama antara kementerian dan antara agensi akan disampaikan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Pada awal hari ini, Prawit dan delegasinya tiba di Wisma Pertahanan untuk kunjungan hormat pertama mereka sejak pandemik Covid-19. - Bernama