Pusat operasi import, eksport barangan pertama guna laluan darat

Muhammad Sanusi (tengah) dan Mustapa (tiga dari kiri) merasmikan gimik pelancaran Projek Terminal E-Dagang Bagi Fasa pertama di Bukit Kayu Hitam, dekat sini pada Khamis.- Foto UPDA
Muhammad Sanusi (tengah) dan Mustapa (tiga dari kiri) merasmikan gimik pelancaran Projek Terminal E-Dagang Bagi Fasa pertama di Bukit Kayu Hitam, dekat sini pada Khamis.- Foto UPDA
A
A
A

PROJEK Terminal e-Dagang dan Logistik di Bukit Kayu Hitam, Kedah melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai pusat operasi aktiviti import dan eksport barangan melalui jalan darat yang pertama di negara ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek dibangunkan oleh KT Express Logistics itu melibatkan pelaburan bernilai hampir RM1 bilion dan mampu menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai pusat e-dagang antarabangsa.

Menurutnya, pembangunan itu sejajar dengan matlamat Kedah membangunkan Bukit Kayu Hitam sebagai Zon Sempadan Ekonomi Khas (SBEZ) yang berpotensi menarik pelaburan baharu dan memangkin momentum usaha pemulihan semula ekonomi pasca Covid-19 khususnya di wilayah utara.

"Buat permulaan antara kawasan yang menjadi fokus utama hub e-dagangan ini ialah Malaysia, Singapura, Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam, Myanmar dan China.

"Jadi diharapkan, apa yang dirancangkan oleh KT Express Logistics Sdn Bhd bersama pasukannya akan dapat direalisasikan dan mengikut perancangan," katanya semasa merasmikan Projek Terminal E-Dagang Bagi Fasa pertama di Bukit Kayu Hitam, dekat sini pada Khamis.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Exco Industri & Pelaburan, Sains, Teknologi & Inovasi dan Pengajian Tinggi Negeri Kedah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif KT Express Logistics, Datuk Affendi Mohamed Zain.

Projek yang mempunyai tiga fasa berkenaan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang dan mampu membuka 2,500 peluang pekerjaan baharu bagi penduduk tempatan.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, projek itu membuka lembaran baru untuk rakyat negeri Kedah memandangkan ia adalah yang pertama di negara ini beroperasi melalui jalan darat.

Sementara itu, Affendi berkata, fasa pertama pembangunan projek yang beroperasi di sebuah gudang berkeluasan 60,000 kaki persegi di kawasan perindustrian di sini telah disiapkan pada Mac dan bakal beroperasi dalam masa terdekat.

Menurutnya, selain mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan negeri Kedah dan Invest Kedah Berhad, pihaknya juga bakal menjalinkan kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi melahirkan pakar dan usahawan di dalam bidang e-dagang.