Belum ada keputusan syarikat telekomunikasi pegang saham majoriti DNB

Annuar (MenKOMM) (kanan) menunjukkan capaian kelajuan data internet pada pelancaran YES 5G oleh YTL Corporation hari ini. Turut kelihatan, Pengurus Besar YTL Tan Sri Francis Yeoh (kiri). Foto Bernama
Annuar (MenKOMM) (kanan) menunjukkan capaian kelajuan data internet pada pelancaran YES 5G oleh YTL Corporation hari ini. Turut kelihatan, Pengurus Besar YTL Tan Sri Francis Yeoh (kiri). Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan belum lagi membuat keputusan ke atas cadangan empat syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia yang mahu memiliki saham majoriti (51 peratus) dalam Digital Nasional Bhd (DNB), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan kerajaan akan memberikan respons ke atas permintaan syarikat berkenaan secepat mungkin.

"Masa kita membuat tawaran, kita sudah fikir banyak kali apa yang patut kita buat. Kita mahukan industri berkembang dan kita mesti sediakan satu persaingan setara, ia tidak boleh seperti undang-undang rimba, siapa kuat dia menang.

"Kami mesti memastikan industri ini berkembang dan untuk ia berkembang, kami mesti memastikan peluang yang adil untuk setiap pihak... kini syarikat telekomunikasi tertentu mahu bergabung, okey - ia keputusan perniagaan mereka,” katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran "Yes 5G for All” di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah agensi berita asing mengenai cadangan yang dikemukakan empat syarikat telekomunikasi itu.

Apabila ditanya sama ada beliau yakin bahawa keempat-empat syarikat itu (Celcom, DiGi, Maxis dan U Mobile) akan dapat menyelesaikan urusan mereka menjelang tarikh akhir 30 Jun ini, Annuar berkata: ”Saya tidak akan menunggu untuk sesiapapun ... terpulang kepada mereka untuk memutuskannya.”

Beliau menegaskan tarikh akhir itu kekal kerana kerajaan tidak boleh terus tawar-menawar yang akan mengakibatkan DNB sukar melangkah ke hadapan dan DNB berhadapan tekanan untuk memastikan ia mampu untuk melaksanakannya dalam rangka masa ditetapkan.

"Sudah tentu mereka tidak akan mendapat tawaran terbaik seperti apa yang sebenarnya mereka minta tetapi anda tidak boleh mendapat segalanya menurut hanya kepada satu kumpulan pengendali, mereka harus melihat kepada banyak perspektif.

"Rundingan mengenai harga sudah berjalan dan petunjuk harga tertentu sedikit sebanyak sudah dipersetujui antara MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan DNB. Kerajaan juga sudah membuat pengumuman di Parlimen dan harga borong tidak boleh melebihi 20 sen (satu gigabit), kami telus dengan orang ramai,” katanya.

DNB ditubuhkan pada awal Mac 2021 untuk mempercepatkan penyediaan prasarana dan rangkaian 5G di Malaysia. Ia akan menawarkan 5G sebagai sebuah perkhidmatan rangkaian borong kepada syarikat telekomunikasi lain.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Sdn Bhd Wing K Lee dan Pengerusi MCMC Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek. - Bernama