Moody's turunkan unjuran pertumbuhan global

Negara-negara maju dijangka berkembang pada 2.6 peratus bagi 2022 manakala pasaran pesat membangun tumbuh 3.8 peratus, susut daripada unjuran sebelumnya iaitu masing-masing pada 3.2 peratus dan 4.2 peratus. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
Negara-negara maju dijangka berkembang pada 2.6 peratus bagi 2022 manakala pasaran pesat membangun tumbuh 3.8 peratus, susut daripada unjuran sebelumnya iaitu masing-masing pada 3.2 peratus dan 4.2 peratus. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

MOODY'S Investors Services bertindak menurunkan unjuran pertumbuhan global bagi 2022 dan 2023 berikutan faktor pencerobohan Rusia ke atas Ukraine serta sekatan pergerakan akibat pandemik di China yang memburukkan lagi gangguan bekalan dan mencetuskan inflasi.

Dalam kenyataannya pada Khamis, Moody's berkata, negara-negara maju dijangka berkembang pada 2.6 peratus bagi 2022 manakala pasaran pesat membangun tumbuh 3.8 peratus, susut daripada unjuran sebelumnya iaitu masing-masing pada 3.2 peratus dan 4.2 peratus.

Agensi penarafan kredit antarabangsa itu juga menjangkakan kadar inflasi yang tinggi itu akan berterusan selama beberapa bulan berikutan lonjakan harga tenaga dan makanan.

Menurut Naib Presiden Kanan/CSR Madhavi Bokil, Moody's juga tidak menjangkakan berlaku sebarang kemelesetan di negara-negara Kumpulan 20 (G-20) pada 2022 atau 2023, kecuali Rusia.

"Bagaimanapun, masih terdapat pelbagai risiko yang boleh menjejaskan lagi unjuran ekonomi termasuk peningkatan tekanan tambahan ke atas harga komoditi, gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan atau kelembapan lebih ketara di China.

"Langkah dasar monetari yang diperketat dalam persekitaran jangkaan inflasi yang berpanjangan dan tidak terkawal, juga boleh menjadi antara pemangkin bagi kemelesetan,” katanya.

Moody's berkata landasan pertumbuhan berkemungkinan menjadi lebih mampan sehingga tahun depan sekiranya ekonomi global kekal berdaya tahan dalam beberapa bulan akan datang.

"Negara-negara semakin kembali ke tahap normal pasca-pandemik yang melibatkan perubahan corak ekonomi berbeza kepada aliran pra-pandemik selain perubahan kekal kepada yang lain.

"Sejajar dengan pengurangan gangguan pandemik, kalangan isi rumah kembali membelanjakan pendapatan masing-masing ke atas aktiviti perkhidmatan yang melibatkan kesalinghubungan tinggi dan kurang membeli barangan,” katanya.

Moody's berkata terdapat peningkatan ketidaktentuan pasaran kewangan dan penetapan semula harga aset susulan peralihan bank-bank pusat yang bertindak memperketat dasar monetari bagi menangani kenaikan inflasi.

"Pulangan bon telah meningkat berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah. Harga ekuiti juga telah susut daripada paras kemuncak manakala dolar Amerika Syarikat telah mengukuh,” katanya. -Bernama