Jiwa Salah masih Liverpool

 Mohamed Salah - Foto AFP
Mohamed Salah - Foto AFP
A
A
A

PENYERANG sensasi Liverpool, Mohamed Salah mengesahkan dia akan kekal di Anfield musim depan tanpa mengira rundingan mengenai masa depannya.

Salah yang meraih Anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 23 gol musim ini, bakal menjadi ejen bebas pada hujung musim depan jika dia tidak menyambung kontraknya.

Namun, bercakap dalam sidang media menjelang final Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid di Paris, awal pagi Ahad ini, bintang Mesir itu berkata, sekarang bukan masa sesuai berunding mengenai kontrak.

“Dalam fikiran saya, saya tidak fokus kepada kontrak dan tidak mahu tamak. Dua bulan lalu, saya bercakap mengenai pasukan. Ini adalah minggu penting buat kami dan saya mahu menang Liga Juara-Juara sekali lagi.

“Sudah tentu, saya akan kekal pada musim depan. Saya mahu melihat Hendo (Jordan Henderson) menjulang trofi lagi dan berharap ia menyerahkannya kepada saya!” katanya.

Pada ketika status Salah hampir menemui titik noktahnya, pengurusan Liverpool masih ternanti-nantikan keputusan seorang lagi bintang mereka, Sadio Mane.

Menurut Mane, keputusan sama ada dia kekal di Anfield musim depan hanya akan diketahui selepas aksi final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid.

“Sudah tentu ia sesuatu yang istimewa sekiranya berjaya memenanginya (trofi Liga Juara-Juara) sekali lagi untuk menjadikan ia gelaran ketujuh buat kelab.

“Untuk soalan itu (sama ada kekal bersama Liverpool atau tidak) akan saya jawab selepas aksi final Liga Juara-Juara di Paris nanti,” jelasnya.

Salah dan Mane dijangka sekali lagi menjadi taruhan bagi mengetuai jentera serangan Liverpool dalam aksi final Liga Juara-Juara di Stade de France, Paris pada awal pagi Ahad ini.