Diskaun tarif elektrik pengeluar makanan, peruncit turunkan harga di Sarawak

Abang Johari
Abang Johari
A
A
A

KUCHING - Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan diskaun tarif elektrik kepada pengeluar dan peruncit makanan di negeri ini dalam usaha mengurangkan kos perniagaan mereka sekali gus mengurangkan harga pasaran makanan.

Tanpa menyebut secara khusus kadar diskaun itu, Primier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini berkata, pengusaha kedai kopi, restoran dan pemain industri makanan dan minuman akan menjadi antara golongan yang boleh menjangkakan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

"(Kerajaan) Sarawak akan campur tangan dalam lingkungan kuasa kita dan cara untuk mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup terutamanya terhadap harga makanan kepada rakyat (rakyat),” katanya ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih atas ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Sarawak di Dewan Undangan Negeri.

Langkah lain, Primier Sarawak itu berkata, Kabinet Negeri akan berunding dengan pengeluar silinder yang digunakan untuk menyimpan gas petroleum cecair (LPG) bagi menurunkan harga silinder, yang akan membawa kepada penurunan harga runcit LPG.

"Kami dapat mengawal pengagihan gas, termasuk LPG, di bawah Ordinan Pengagihan Gas. LPG adalah barangan terkawal dan harganya ditetapkan untuk seluruh Malaysia di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (dengan) harga isi rumahnya disubsidi sehingga 50 peratus oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Abang Johari berkata, Sarawak mengambil maklum tentang kenaikan harga makanan yang menjejaskan kos sara hidup dan semua ini disebabkan oleh ketegangan geopolitik semasa yang membawa kepada inflasi import, manakala prestasi ringgit berbanding dolar AS merosot 0.7 peratus dalam suku pertama 2022.

"Ekonomi di seluruh dunia telah mengalami tekanan yang besar sejak dua tahun lepas, pandemik Covid-19 turut mengejutkan dunia dan menjejaskan sistem penjagaan kesihatan, mata pencarian rakyat dan telah menyebabkan banyak ekonomi ke dalam kancah kemelesetan. Kita tahu, Sarawak turut mengalami isu serupa,” katanya.

Menyedari ketidaktentuan itu, beliau berkata, kerajaan Sarawak telah menetapkan Strategi Pembangunan PascaCovid-19 2030 (PCDS 2030) untuk menangani pembaharuan ekonomi negeri ketika Sarawak bergerak ke arah negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030.

Di bawah PCDS 2030, beliau berkata, ekonomi Sarawak disasarkan berkembang pada purata antara enam dan lapan peratus setahun jika ia boleh maju berbanding hanya pergantungan kepada komoditi utama sebagai sumber pendapatan utamanya dengan mempelbagaikan ekonominya kepada industri hiliran yang bernilai tinggi.

"Saya yakin kita akan dapat meraihnya melalui kepercayaan ini dalam usaha mencapai matlamat dan aspirasi Sarawak melalui model ekonomi baharu," katanya. - Bernama