Pemain skuad Piala Presiden Selangor meninggal dunia selepas perlawanan

Muhammad Husni - Foto Facebook Selangor FC
Muhammad Husni - Foto Facebook Selangor FC
A
A
A

PETALING JAYA - Pemain bola sepak Piala Presiden Selangor FC, Muhammad Husni Idrus yang meninggal dunia di sebuah medan selera di Sunway X Park di sini pada Rabu, mempunyai rekod penyakit asma.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan yang memaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki berusia 21 tahun telah terbaring tidak sedarkan diri pada jam 9.58 malam

"Kami mendapati mangsa terbaring di atas lantai berhampiran tandas di medan selera itu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mayat Muhammad Husni ditemui terbaring di atas lantai berhampiran tandas di sebuah medan selera Sunway X Park, Petaling Jaya pada Rabu.
Mayat Muhammad Husni ditemui terbaring di atas lantai berhampiran tandas di sebuah medan selera Sunway X Park, Petaling Jaya pada Rabu.

Ku Mashariman berkata, sebelum itu, mangsa telah menyertai perlawanan bola sepak antara pasukan Selangor dan pasukan Johor di Padang PKNS Kelana Jaya.

"Setelah selesai perlawanan, Muhammad Husni dan beberapa rakan sepasukannya telah ke lokasi kejadian untuk menjamu selera.

"Mangsa kemudian mengalami sesak nafas sehingga terjatuh dan tidak sedarkan diri," katanya.

Beliau berkata, mayat Muhammad Husni kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

"Siasatan diteruskan di bawah laporan mati mengejut (SDR)," katanya.