HFMD: Dua kanak-kanak alami gejala teruk, dirawat di ICU

(Gambar kecil: Khairy Jamaluddin) Dua kanak-kanak yang disahkan dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan mengalami gejala teruk dan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).- Gambar hiasan
(Gambar kecil: Khairy Jamaluddin) Dua kanak-kanak yang disahkan dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan mengalami gejala teruk dan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).- Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan dua kanak-kanak yang disahkan menghidap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) mengalami gejala teruk dan memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Beliau berkata, kedua-dua kanak-kanak itu positif virus enterovirus 71 (EV71) yang merupakan antara virus ‘predominant’ (utama) yang berada dalam persekitaran Malaysia.

“Pada 25 Mei 2022, kanak-kanak pertama telah beransur pulih dan tidak memerlukan bantuan pernafasan lagi, namun masih dipantau di ICU, manakala kes kedua masih lagi memerlukan bantuan pernafasan tetapi dalam keadaan stabil.

“Survelan virus penyebab HFMD mendapati virus EV71, Coxsackie A6 (CA6) adalah virus yang utama yang berada dalam persekitaran Malaysia,” katanya dalam sidang media pada Khamis.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, langkah-langkah kawalan dan pencegahan bagi HFMD telah dijalankan oleh pejabat kesihatan daerah (PKD) melibatkan pemeriksaan premis, penutupan premis, basmi kuman premis, persampelan klinikal, pendidikan kesihatan dan sesi perjumpaan 'townhall' (THM) bersama.

Menurutnya, aktiviti dijalankan semasa sesi terlibat meliputi ceramah berkaitan penyakit HFMD dan peranan yang perlu diambil oleh agensi bagi menangani peningkatan kes HFMD di Malaysia.

“Sebanyak 151 sesi THM telah dijalankan oleh negeri-negeri berikutan peningkatan kes sejak April 2022 dengan liputan 25 peratus daripada jumlah taska, tadika dan tabika yang berdaftar iaitu 5,866 daripada 23,505 premis berdaftar, manakala penyeliaan kebersihan tempat permainan dalam bangunan ‘indoor’ yang dilawati adalah sebanyak 183 buah.

“Bagi tujuan perancangan dan pelarasan aktiviti kawalan dan pencegahan HFMD, bilik gerakan HFMD kebangsaan dan juga negeri telah dibuka seawal 4 April 2022,” ujarnya.