X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Hujan lebat luar biasa punca banjir di dua daerah di Perak

Saarani melawat rumah Che Roha Baharuddin, 53, (kanan) yang terjejas dalam banjir kilat di Felda Trolak Selatan.
A
A

TANJUNG MALIM - Hujan lebat luar biasa dikenal pasti menjadi punca berlakunya banjir kilat melibatkan lebih 80 keluarga di daerah Batang Padang dan Muallim di sini pada Rabu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, taburan hujan tinggi menyebabkan sungai berhampiran tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.

"Keadaan teruk kerana hujan sangat lebat di luar kebiasaan dan kebetulan ketika ini ladang sawit di Felda ini telah menebang pokok.

"Air yang banyak dan sungai tidak dapat menampung jumlah air, akibatnya mana-mana kawasan yang rendah terutama tepi sungai menjadi mangsa banjir," katanya ketika ditemui selepas melawat kawasan banjir di Felda Trolak Selatan di sini pada Khamis.

Penduduk, Roslinawaty Bahaudin, 41, memandang rumah abangnya yang terputus hubungan selepas jambatan dihanyutkan air deras di Kampung Poh, Bidor.
Penduduk, Roslinawaty Bahaudin, 41, memandang rumah abangnya yang terputus hubungan selepas jambatan dihanyutkan air deras di Kampung Poh, Bidor.

Menurutnya, kejadian itu juga menyebabkan penduduk Orang Asli di Rancangan Petempatan Semula (RPS) Jernang, Sungkai di sini turut terputus hubungan selepas jambatan dihanyutkan air deras.

"Seramai 972 penduduk Orang Asli di lima kampung terputus hubungan. Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah digerakkan dengan menyediakan makanan siap masak kepada mereka.

"Keadaan sama berlaku di Kampung Poh, Bidor melibatkan sebuah keluarga terperangkap apabila jambatan runtuh," katanya.

Jambatan kuari yang menjadi laluan penduduk turut dihanyutkan banjir di Kampung Poh, Bidor.
Jambatan kuari yang menjadi laluan penduduk turut dihanyutkan banjir di Kampung Poh, Bidor.

Saarani berkata, jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan siasatan untuk melihat jumlah kos yang diperlukan bagi membaiki infrastruktur terbabit.

"Kita ada peruntukan Rancangan Tebatan Banjir untuk daerah ini, dapat peruntukan itu akan terus dilaksanakan.

"Selain itu, ada keperluan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mendalamkan sungai berikutan air sungai cetek," katanya.

Beliau juga mengharapkan Lembaga Air Perak (LAP) dapat membantu menyalurkan bekalan air bersih kepada penduduk yang terjejas.

Saayah Nayan, 78, bersama cucunya menyusun pinggan mangkuk yang kotor selepas rumah dinaiki air di Felda Trolak Selatan.
Saayah Nayan, 78, bersama cucunya menyusun pinggan mangkuk yang kotor selepas rumah dinaiki air di Felda Trolak Selatan.

"Sebahagian penduduk selesa menggunakan air graviti namun, bekalan paip itu terputus menyebabkan penduduk sukar menjalankan pembersihan.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menghantar lori bekalan air untuk keperluan harian termasuk membersihkan diri dan mencuci rumah," katanya.

Ditanya berkenaan bantuan, beliau berkata, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat termasuk jumlah kerugian sebelum menyampaikan wang ihsan kepada mangsa.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!