Bursa Malaysia akhiri dagangan dengan prestasi tinggi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia meneruskan kenaikan semalam untuk ditutup tinggi pada Khamis, disokong oleh permintaan belian di kaunter barangan dan perkhidmatan perindustrian serta kaunter telekomunikasi dan media terpilih dalam keadaan sentimen berhati-hati di bursa serantau, kata peniaga.

Press Metal dan Telekom Malaysia merupakan dua kaunter paling untung dengan masing-masing melonjak 14.0 sen kepada RM5.44 dan 26.0 sen kepada RM4.97, sekali gus menyumbang 3.68 mata kepada kenaikan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI).

Pada 5 petang, indeks penanda aras itu meningkat 5.59 mata atau 0.36 peratus kepada 1,541.15 daripada 1,535.56 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka 4.16 mata lebih tinggi kepada 1,539.72 sebelum bergerak di antara 1,535.89 dengan 1,541.75 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Bagaimanapun, lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 557 berbanding 406, manakala 364 kaunter tidak berubah, 986 kaunter tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.89 bilion unit bernilai RM1.92 bilion daripada 2.34 bilion unit bernilai RM1.80 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata FBM KLCI bergerak lebih tinggi memandangkan pelabur terus membeli saham pada harga rendah susulan penjualan besar-besaran baru-baru ini.

Beliau berkata di peringkat rantau, indeks-indeks utama ditutup dengan prestasi bercampur-campur memandangkan pelabur masih bimbang mengenai kesan ekonomi akibat perintah sekatan pergerakan berterusan di China ekoran Covid-19.

"Sementara itu, pengumuman Bank of Korea berhubung kenaikan kadar dasarnya sebanyak 25 mata asas kepada 1.75 peratus akan menambah sedikit tekanan ke atas penilaian ekuiti.

"Bagi bursa tempatan, kami yakin pasaran telah mengalami situasi terlebih jual (sebelum ini), bagaimanapun, kami mengingatkan pelabur supaya kekal berhati-hati terhadap turun naik pasaran yang ketara serta ketidaktentuan luaran,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata pihaknya menjangkakan indeks penanda aras kekal mengalami tidak banyak perubahan dengan julat di antara 1,535 dengan 1,545 sehingga Jumaat.

Paras sokongan serta-merta ditetapkan pada 1,520 dan paras rintangan pada 1,560, katanya.

Di peringkat rantau, Indeks Straits Times Singapura menokok 0.93 peratus kepada 3,209.28; Nikkei 225 Jepun susut 0.27 peratus kepada 26,604.84; Hang Seng Hong Kong kurang 0.27 peratus kepada 20,116.20; KOSPI Korea Selatan menguncup 0.18 peratus kepada 2,612.45 dan Indeks Komposit SSE China meningkat 0.50 peratus kepada 3.123.11.

Di peringkat domestik, saham wajaran tinggi Maybank dan TNB masing-masing naik 2.0 sen kepada RM8.96 dan RM9.21, Public Bank meningkat 5.0 sen kepada RM4.60, IHH Healthcare menambah 6.0 sen kepada RM6.49 manakala Petronas Chemicals turun 6.0 sen kepada RM9.87.

Bagi saham aktif, Serba Dinamik dan Cypark masing-masing meningkat 1.5 sen kepada 11.5 sen dan 39.5 sen, Cnergenz melonjak 10.5 sen kepada 67.5 sen, manakala Sapura Energy susut 1.0 sen kepada 7.5 sen.

Di papan indeks, FBM ACE meningkat 15.06 mata kepada 5,205.98; Indeks FBM Emas Syariah naik 20.90 mata kepada 11,353.82; Indeks FBM Emas menokok 35.09 mata kepada 10,984.54; Indeks FBMT 100 menambah 42.66 mata kepada 0,675.81 dan FBM 70 meningkat 68.52 mata kepada 13,088.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.88 mata kepada 198.34; Indeks Perladangan susut 79.55 mata kepada 7,988.69 serta Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 94.18 mata kepada 16,589.91.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.86 bilion saham bernilai RM1.72 bilion daripada 1.60 bilion saham bernilai RM1.65 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 379.61 juta unit bernilai RM74.24 juta daripada 290.37 juta unit bernilai RM59.90 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula melonjak kepada 649.14 juta saham bernilai RM181.37 juta daripada 454.77 juta saham bernilai RM98.44 juta semalam.

Kaunter barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 308.93 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan perindustrian (474.44 juta), pembinaan (46.75 juta), teknologi (131.89 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (49 juta), hartanah (157.17 juta), perladangan (49.59 juta), REIT (14.80 juta), dana tertutup (100), tenaga (471.82 juta), penjagaan kesihatan (58.86 juta), telekomunikasi dan media (44.34 juta), pengangkutan dan logistik (35.42 juta) serta utiliti (19.89 juta). - Bernama