X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Terengganu berpotensi tarik pelancong dari Eropah

Terengganu mempunyai potensi besar dalam menarik pelancong dari Eropah menerusi segmen pelancongan pulau dan pantai. - Foto 123rf (Gambar kecil: Ariffin)
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu mempunyai potensi besar dalam menarik pelancong dari Eropah menerusi segmen pelancongan pulau dan pantai.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, statistik kemasukan pelancong asing ke Terengganu melibatkan tiga pulau peranginan utama iaitu Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah pada 2019 menunjukkan seramai 23,238 pelancong adalah dari Itali.

Katanya, menerusi data yang dikongsi Tourism Malaysia (PR Milan) pula, jumlah pelancong Itali ke Malaysia juga menunjukkan peningkatan bagi tempoh tiga tahun sebelum pandemik, Januari hingga Disember 2017 (44,638), 2018 (52,011) dan 2019 (54,710).

"Angka ini menunjukkan Terengganu mempunyai tarikan alam semula jadi serta keunikan yang mampu menarik kunjungan pelancong dari Eropah terutama pasaran Itali, menerusi segmen pelancongan pulau dan pantai.

"Peluang ini harus digunakan dalam usaha mempromosikan produk pelancongan di samping menjalin kerjasama erat bersama pemain industri bagi memasarkan pakej pelancongan yang ditawarkan secara lebih kreatif dan agresif," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Kerajaan Terengganu melalui jabatan pelancongan negeri meneruskan sinergi mempromosikan produk pelancongan di luar negara bagi menarik pelancong luar negara selepas negara memasuki fasa endemik.

Kali ini program promosi kempen Beautiful Terengganu di Eropah memilih Itali sebagai negara utama menerusi sesi Business To Business (B2B) bertempat di Excelsior Gallia, Milan, Itali, yang berlangsung pada 25 Mei.

Sementara itu, Pengarah Pelancongan Malaysia di Paris, Mohamad Libra Lee Haniff, berkata, usaha dilakukan kerajaan Terengganu merupakan strategi berkesan bagi mempromosikan pelancongan Terengganu secara terus kepada penggiat industri, pengembara pelancongan dan media.

"Terengganu mempunyai pelbagai lokasi menarik yang berpotensi besar bagi pasaran Eropah. Antara produk tarikan utama yang terdapat di negeri itu adalah pulau-pulau yang cantik, antaranya Pulau Redang dan Pulau Perhentian," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!