Produk kosmetik bernilai RM6.2 juta dirampas

Antara produk yang dirampas dalam serbuan Isnin lalu.
Antara produk yang dirampas dalam serbuan Isnin lalu.
A
A
A

KLANG - Jabatan Kesihatan Selangor merampas 28 jenis produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dianggar bernilai RM6.2 juta di sebuah gudang di sini, Isnin lalu.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, serbuan dijalankan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor setelah menerima aduan awam berkenaan penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang diiklan dan dijual secara dalam talian.

“Siasatan awal mendapati produk dan kosmetik diimport dan disimpan di sebuah premis yang menyediakan perkhidmatan logistik.

“Produk dan kosmetik itu kemudiannya dihantar kepada pelanggan menggunakan syarikat kurier tempatan.

“Semua produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan

Beliau berkata, penjualan produk tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a) dan adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Manakala penjualan kosmetik tidak bernotifikasi melanggar Peraturan 18A(1) dan merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 18A(15), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian Kesihatan minta orang ramai sentiasa berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara dalam talian serta memastikan produk dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 0378835400.

“Orang digalak kemukakan aduan dan salur maklumat berkenaan produk meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian membanteras penjualan produk kesihatan tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam.

“Aduan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my, melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my atau hubungi talian 0378413200,” katanya