Marcos Jr lebih tegas berbanding Duterte

Duterte (kiri) menolak konfrontasi dengan Beijing, namun Marcos Jr mahu pertahankan kedaulatan wilayah Filipina. - Foto Agensi
Duterte (kiri) menolak konfrontasi dengan Beijing, namun Marcos Jr mahu pertahankan kedaulatan wilayah Filipina. - Foto Agensi
A
A
A

MANILA - Bakal Presiden baharu Filipina, Ferdinand Marcos Jr pada Khamis berikrar untuk menghalang sebarang campur tangan asing dan mempertahankan kedaulatan wilayah serta menentang sebarang pencerobohan Beijing di Laut China Selatan.

Beliau juga menegaskan akan terus mengekalkan keputusan antarabangsa terhadap Beijing berhubung pertikaian multilateral di perairan itu dan tidak akan membiarkan China melangkaui hak maritim Manila.

“Saya tidak akan membiarkan walaupun satu milimeter hak maritim kita dipijak. Ini bukan satu tuntutan kerana ia sudah menjadi hak wilayah kami. Kami bercakap tentang China dengan suara lebih tegas. Tetapi, kita tidak boleh berperang dengan mereka,” ujarnya.

Kenyataan itu dibuat selepas Beijing bertindak mengabaikan keputusan dibuat Mahkamah Tetap Timbang Tara pada 2016 yang mengisytiharkan tuntutan berdasarkan sejarah sebagai ‘tiada asas’.

Marcos Jr juga menjelaskan, akan berusaha untuk mencapai keseimbangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) yang bersaing untuk menjalinkan hubungan rapat dengan pentadbirannya.

“Kami adalah ‘pemain kecil’ dalam kalangan gergasi yang sangat besar dalam geopolitik. Kami perlu menggunakan cara kami sendiri. Saya berpendapat kita perlu mencari dasar luar yang bebas dan tidak terikat serta boleh berkawan dengan mana-mana pihak. Ia adalah satu-satunya cara,” katanya lagi.

Difahamkan, Washington mempunyai hubungan yang kompleks dengan Manila dan keluarga Marcos.

Sebelum ini, pentadbiran pendahulunya, Rodrigo Duterte cuba memupuk hubungan lebih mesra dengan mengetepikan keputusan mahkamah tersebut sebagai pertukaran untuk pelaburan dan perdagangan yang gagal direalisasikan hingga kini.

Beliau juga berdepan kecaman banyak pihak termasuk sekutunya kerana menolak untuk berkonfrontasi dengan Beijing semata-mata mahu mengekalkan hubungan rapat dengan gergasi ekonomi tersebut.

Sementara itu, jurucakap badan pemikir, Kerjasama Pembangunan dan Keselamatan Antarabangsa, Chester Cabalza berpendapat, Laut China Selatan merupakan halangan utama dalam hubungan antara Manila dan Beijing yang perlu diselesaikan segera. - AFP