Bangkai tikus dalam kilang proses kopi, teh

Mohd Wazir menunjukkan bangkai tikus yang ditemui.
Mohd Wazir menunjukkan bangkai tikus yang ditemui.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebuah kilang memproses kopi dan serbuk teh berhampiran Jalan India di sini, diarah tutup serta-merta oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) selepas penemuan bangkai dan najis tikus dalam stor penyimpanan produk.

Kilang yang telah beroperasi sejak lebih 50 tahun lalu itu ditutup 14 hari selepas didapati gagal memastikan tahap kebersihan mematuhi piawaian yang ditetapkan dalam Program Jaminan Kebersihan Makanan (PJKM).

Ketua Unit Penguatkuasaan BKKM, Mohd Wazir Khalid berkata, bangkai tikus sebesar tapak tangan yang dipercayai telah mati sejak lebih tiga hari lalu bersama produk minuman yang siap dibungkus.

Menurutnya, selain masalah najis dan bangkai tikus, siasatan mendapati kilang berkenaan juga mengguna pakai logo halal yang meragukan untuk produk mereka.

"Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana berdasarkan pemantauan, kilang tersebut tidak sepatutnya mendapat pengiktirafan untuk menggunakan logo halal terbabit.

"Kesalahan lain yang dikesan dalam serbuan ini ialah peralatan yang digunakan di kilang ini tidak mematuhi standard yang ditetapkan kerana ada sebahagian daripada diperbuat daripada besi tahan karat dan ada juga daripada kayu sahaja," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Logo halal yang mencurigakan dikesan digunakan oleh kilang terbabit.
Logo halal yang mencurigakan dikesan digunakan oleh kilang terbabit.

Mohd Wazir berkata, pemeriksaan juga mendapati lantai simen premis itu juga berlopak dan ada takungan air.

Katanya, keadaan itu dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya percikan terhadap produk minuman di sini yang belum dibungkus dan seterusnya boleh menyebabkan pencemaran makanan.

Beliau berkata, serbuan terbabit dijalankan bersama beberapa pegawai daripada pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang serta Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Katanya, secara keseluruhan, sebanyak tiga kompaun bernilai RM5,000 telah dikeluarkan oleh BKKM terhadap pemilik premis tersebut iaitu atas kesalahan menggaji pekerja tanpa suntikan tifoid serta tidak memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) yang sepatutnya.