Kuantan catat 157 kes kemalangan libatkan haiwan ternakan tahun lalu

Wan Mohd Zahari (dua dari kiri) bersama wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan MBK serta wakil penternak yang hadir pada sesi perjumpaan di Balai Polis Beserah, Kuantan pada Khamis.
Wan Mohd Zahari (dua dari kiri) bersama wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan MBK serta wakil penternak yang hadir pada sesi perjumpaan di Balai Polis Beserah, Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 157 kes kemalangan melibatkan haiwan ternakan dilaporkan berlaku di daerah ini sepanjang tahun lalu dan 37 kes sehingga April tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, daripada kes-kes yang dilaporkan itu, tiada kes yang melibatkan kematian dalam kalangan pengguna jalan raya terlibat.

Menurutnya, kebanyakan kemalangan yang dilaporkan lebih kepada kerosakan kenderaan dan haiwan yang dilanggar biasanya lembu dan kerbau.

"Antara kawasan yang sering berlaku kemalangan melibatkan haiwan ternakan ini dilaporkan di Jalan Pintasan Kuantan dalam kawasan Beserah di sini.

"Beberapa kes kemalangan yang berlaku itu pernah tular di laman sosial sebelum ini dan ada desakan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penternak yang membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dan sesi dialog bersama penternak kawasan Beserah di sini pada Khamis.

Perjumpaan itu turut disertai Ketua Bahagian Regulatori Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, Dr Ainani Awang dan wakil Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Ra'azmi Ithnin.

Wan Mohd Zahari berkata, ekoran aduan dan kes yang dilaporkan, pihaknya bersama Jabatan Vaterinar Daerah dan MBK mengadakan perjumpaan bersama penternak bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu kacau ganggu melibatkan haiwan ternakan khusus kepada pengguna jalan raya dan penduduk setempat.

"Sesi perjumpaan ini lebih kepada memberi penekanan kepada undang-undang sedia ada yang dikuatkuasakan termasuk mengenai Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001 dan tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka yang membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya dan kawasan perumahan.

"Tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan sekiranya penternak gagal mematuhi peraturan di bawah enakmen ini selepas perbincangan dan penerangan diberikan," katanya.

Menurutnya, selain tindakan kompaun di bawah enakmen tersebut, penternak yang cuai menjaga haiwan ternakan mereka juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Perjumpaan hari ini usaha juga bertujuan untuk mengelak berlaku konflik yang menjurus kepada jenayah kekerasan antara penternak, penduduk setempat dan pengguna jalan raya.

"Turut ditekankan undang-undang yang melarang penganiayaan terhadap haiwan berkeliaran bagi mengelak ada pihak mengambil tindakan sendiri di luar batasan," katanya.

Selain itu katanya, masyarakat juga perlu jelas pihak yang perlu dirujuk dalam aduan berkaitan masalah kacau ganggu haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran.

"Sekiranya melibatkan kemalangan, laporan perlu dibuat kepada pihak polis untuk siasatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala untuk kes kacau ganggu ia di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Pada masa sama, persepsi masyarakat yang mendakwa polis dan agensi bertanggungjawab tidak memainkan peranan dalam isu ini perlu diperbetulkan," katanya.

Beliau berkata, semua agensi terlibat sentiasa bekerjasama dalam menguat kuasa enakmen itu malah pihak Jabatan Vaterinar sendiri telah menjalankan lima operasi dan berhasil menangkap lapan lembu berkeliaran tahun ini.