Bekalan ayam masih ada tetapi terhad: Peniaga Sabah

Peniaga Rashid Taha menunjukkan ayam yang dijualnya di Pasar Besar Kota Kinabalu, pada Khamis. Bekalan ayam di pasaraya itu setakat ini mencukupi. - Foto Bernama
Peniaga Rashid Taha menunjukkan ayam yang dijualnya di Pasar Besar Kota Kinabalu, pada Khamis. Bekalan ayam di pasaraya itu setakat ini mencukupi. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Peniaga ayam di Sabah khususnya di Pasar Besar Kota Kinabalu tidak berdepan masalah terputus bekalan ayam tetapi bekalan diterima daripada pembekal adalah terhad buat masa ini.

Tinjauan Bernama di pasar besar itu mendapati peniaga masih mendapat bekalan ayam walaupun jumlah bekalan diterima berkurangan berbanding sebelum ini manakala harga ayam seperti ayam bulat masih dijual pada harga sekitar RM11 hingga RM11.50 sekilogram.

Seorang peniaga Rizal Hamid, 43, dari Penampang berkata, kebiasaannya beliau menempah 300 ekor ayam daripada pembekal setiap hari, tetapi sekarang beliau hanya menerima kira-kira 100 hingga 150 ekor ayam sahaja.

"Buat masa sekarang, kita tidak boleh kata bekalan mencukupi atau kurang... sedang-sedang sahaja, sederhana. Ini kerana bila kita buat tempahan (bekalan) ayam ada tetapi kebanyakan kita (peniaga) dapat separuh sahaja daripada kuantiti yang sudah ditempah.

"Ada juga saya bertanya kenapa keadaan begitu dan saya diberitahu kerana masalah baja (makanan) ayam, kos baja (makanan) ayam terlalu tinggi. Berat satu ekor ayam sepatutnya dijual (pembekal) kepada peniaga dalam 1.8 kilogram hingga 2 kilogram," katanya ketika ditemui Bernama, pada Khamis.

Rizal berkata, operasi kedai yang kebiasaannya sehingga 4 petang, kini terpaksa ditutup lebih awal pada pukul 9 atau 10 pagi berikutan bekalan ayam habis dijual kepada pengguna.

Seorang lagi peniaga Yusof Kadil, 48, dari Likas berkata bekalan ayam masih ada dan tidak terputus, selain harga ayam terutama ayam bulat juga masih sama.

"Bekalan ayam bukan tiada, ada, tetapi kurang dalam 30 peratus. Contohnya kami minta kepada pembekal sebanyak 100 ekor ayam, tetapi kami dapat 60 atau 70 ekor ayam sahaja.

"Untuk harga ayam pula, jika pembekal tidak menaikkan harga, kami peruncit juga tidak menaikkan harga kerana kami bergantung kepada pembekal,” katanya, sambil menambah bahawa mereka tidak mengehadkan pembelian ayam kepada pengguna, namun ia bergantung kepada bekalan yang ada.

Beliau berharap bekalan ayam akan kembali stabil memandangkan ia antara bahan makanan yang paling digemari ramai.

Pada Selasa, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan memberitahu bekalan ayam di Sabah masih mencukupi untuk penduduk negeri itu.

Pada masa ini, Sabah mampu menghasilkan sendiri lebih 100,000 ekor ayam disembelih serta 2.5 juta biji telur ayam sehari dan jumlah itu mampu memenuhi permintaan penduduk tempatan. - Bernama