X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Pan Gon teruja uji 'senjata baharu' esok

Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon (kiri) bersama pemain skuad Harimau Malaya Mohamed Syamer Kutty Abba (kanan) ketika sidang media perlawanan persahabatan antara pasukan Malaysia menentang Brunei di Wisma FAM, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A

PENGENDALI skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon tidak sabar untuk menguji keberkesanan ‘senjata baharu’ pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Brunei di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jumaat.

Beliau berkata, pelbagai input dan maklumat sudah dicurahkan terutama berkaitan formasi baharu yang diterapkan kepada anak buahnya sejak kem latihan pusat bermula Khamis lepas.

"Saya berpuas hati kerana pemain menerima dengan baik senjata baharu itu.

"Jika pemain menunjukkan hasil positif esok, kita boleh bermain (senjata baharu) dari semasa ke semasa supaya pasukan mempunyai banyak pendekatan dan menyukarkan pasukan lawan untuk menganalisis permainan kita,” katanya pada sidang media praperlawanan persahabatan itu di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, walaupun pemain dilihat mengalami keletihan namun berbangga serta berpuas hati kerana anak buahnya tidak mengeluh sebaliknya bersemangat dan jurulatih dari Korea Selatan itu teruja untuk melihat hasilnya esok.

Menyedari bahawa peminat bola sepak mahukan kemenangan, Pan Gon berharap anak buahnya akan memberikan persembahan terbaik, kesungguhan, sikap dan tenaga positif dalam setiap perlawanan diharungi mereka.

"Kita perlu mengubah dan membina perkara terbaik untuk peminat serta tahu apa yang mereka mahu... Saya tidak boleh memberikan kemenangan dalam setiap perlawanan tetapi kita akan menunjukkan kesungguhan, semangat, dinamik, agresif atau menguasai permainan dan sekurang-kurangnya buat mereka bangga dengan semangat ini, bersatu dan berjuang untuk bola sepak Malaysia,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Brunei Rosanan Samak berkata mereka telah membuat persiapan rapi untuk bertemu Malaysia sejak Ramadan lepas selepas lebih setahun tanpa aksi kompetitif di peringkat antarabangsa susulan kawalan ketat dikenakan oleh pihak berkuasa di negara itu dalam mengekang ancaman wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Rosanan berjanji akan memastikan anak buahnya memberi tentangan sengit ketika menentang Malaysia esok.

Selain Brunei, Malaysia dijadual berdepan Hong Kong dalam satu lagi aksi persahabatan pada 1 Jun sebelum berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dalam Kumpulan E, kempen kelayakan Piala Asia 2023. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!