HTAR hadkan kapasiti lawat pesakit, masa lawatan

HTAR hanya membenarkan seorang pelawat melawat pesakit selama 30 minit dalam satu-satu masa. Gambar kecil: Dr Sha'ari
HTAR hanya membenarkan seorang pelawat melawat pesakit selama 30 minit dalam satu-satu masa. Gambar kecil: Dr Sha'ari
A
A
A

KLANG - Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hanya membenarkan seorang pelawat melawat pesakit selama 30 minit dalam satu-satu masa manakala kapasiti pelawat dihadkan tidak melebihi 50 orang pada setiap sesi lawatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Sha'ari Ngadiman berkata demikian menjawab isu tular berkenaan waris pesakit di HTAR yang mendakwa perlu melalui prosedur ketat untuk melawat pesakit walaupun dibenarkan oleh pegawai perubatan.

Beliau menerusi satu kenyataan memaklumkan, keputusan tersebut dibuat dalam satu Mesyuarat Penyelarasan Polisi Pelawat dan Penjaga di peringkat HTAR pada 25 April lalu untuk merangka dan membentuk Polisi Pelawat dan Penjaga khusus untuk hospital berkenaan.

Menurutnya, ia susulan pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 21 April lalu yang membenarkan pelawat dan penjaga hadir ke fasiliti-fasiliti kesihatan bermula 23 April lalu berikutan Malaysia memasuki fasa peralihan endemik Covid-19.

"Tujuan utama adalah untuk mengawal kesesakan di wad semasa waktu melawat. Antara langkah yang dilakukan oleh pihak HTAR adalah mengeluarkan Pas Lawatan supaya pihak pengurusan wad dapat menentukan jumlah pelawat pada setiap satu sesi lawatan.

"Penambahan pelawat boleh dibenarkan untuk kes-kes tertentu dan boleh diubah suai mengikut keadaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Sha'ari berkata, pihak JKNS akan memastikan dasar dan peraturan yang ditetapkan dalam Polisi Lawatan untuk Penjaga dan Pelawat di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa Fasa Peralihan ke Endemik Covid-19 daripada KKM dikuatkuasakan sebaiknya.

Ujarnya, JKNS memaklumkan bahawa polisi yang disesuaikan dengan keperluan HTAR disediakan dengan bertujuan baik dan tiada halangan atas pelawat-pelawat yang ingin menziarahi pesakit, namun perlu mematuhi garis panduan sedia ada.