'Elak persepsi, biar mahkamah tentukan'

Abi Mursyidin Awal (kiri) ketika sidang media di perkarangan Mahkamah Shah Alam pada Khamis.
Abi Mursyidin Awal (kiri) ketika sidang media di perkarangan Mahkamah Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - "Anak guam saya hanya mahu menjalani kehidupan dengan tenang buat ketika ini,'' demikian reaksi peguam, Abi Mursyidin Awal, kepada individu yang didakwa memukul seorang warga emas dalam kejadian di Padang Jawa pada Ahad lalu.

Abi Mursyidin berkata, pada ketika ini semua pihak harus menghormati perjalanan proses kehakiman dan tidak bergantung kepada video tular yang disensasikan sebelum ini.

"Dalam soal ini, tidak perlu ada mana-mana pihak menjadi jaguh dalam meraih pelbagai persepsi kerana sedia maklum, akhirnya keputusan kelak akan ditentukan oleh mahkamah dan dalam soal ini kita harus percaya dan hormati jalur atur proses kehakiman yang berjalan.

"Anak guam saya hendak menjalani proses kehidupan seperti biasa, bertemu dengan insan tersayang dan sebagainya," katanya dalam sidang media di perkarangan Mahkamah Shah Alam pada Khamis.

Beliau menjelaskan, dalam kes ini terdapat dua kes yang berbeza yang mana anak guamnya menghadapi pertuduhan di mana didakwa memukul mangsa dan satu lagi kes, anak guam membuat laporan mendakwa dirinya dipukul sekumpulan individu.

"Berhubung kes yang mana anak guam saya dikatakan memukul seorang individu iaitu kes hari ini, telah didakwa di bawah Seksyen 323 dan satu kes lagi akan dikendalikan oleh rakan saya.

"Saya difahamkan kes kedua masih dalam siasatan pihak polis," ujarnya.

Pada Khamis, seorang penunggang motosikal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas satu pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang warga emas, Ahad lalu.

Muhammad Zulkifli Che Su, 24, yang bekerja sebagai juruteknik sebuah syarikat automatif membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zainol Din Hussein, 61, di Jalan Padang Jawa di sini, pada jam 12 tengah hari, 22 Mei lalu.

Ia merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Ahad lalu, tular video di laman sosial, memaparkan seorang lelaki warga emas dipukul seorang penunggang motosikal dipercayai berlaku di Padang Jawa, di sini.

Tindakan penunggang motosikal tersebut kemudiannya berjaya dileraikan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Aksinya menerima kecaman daripada netizen yang rata-ratanya menyifatkan tindakan itu keterlaluan.