JBPM Melaka selamat RM1.75 juta harta benda pada Op Aidilfitri

JBPM Melaka selamat RM1.75 juta harta benda pada Op Aidilfitri. - Foto Bernama
JBPM Melaka selamat RM1.75 juta harta benda pada Op Aidilfitri. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berjaya menyelamatkan harta benda dengan nilai taksiran RM1.75 juta dalam kes kebakaran membabitkan bangunan dan harta benda sepanjang Op Musim Hari Raya Aidilfitri 2022 bermula 25 April hingga 9 Mei lepas.

Pengarahnya, Abu Bakar Katain berkata, dalam tempoh tersebut juga sebanyak RM246,495 kerugian turut direkodkan membabitkan kebakaran harta benda dan bangunan yang tidak dapat diselamatkan.

"Selain itu, bomba juga menerima 148 panggilan kecemasan termasuk 49 panggilan membabitkan kebakaran serta 99 panggilan berhubung penyelamatan dan khidmat kemanusiaan.

"Bagi panggilan kebakaran, sebanyak 18 kes membabitkan kebakaran elektrik, pembakaran terbuka (16 kes), bangunan (lapan kes), kenderaan (enam kes) dan lain-lain (satu kes) manakala bagi penyelamatan, bomba Melaka menerima panggilan tertinggi membabitkan binatang berbisa iaitu 41 kes," katanya kepada pemberita di sini malam Rabu.

Sebelum itu beliau menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri JBPM Melaka yang turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman di ibu pejabat JBPM negeri di Bukit Katil di sini.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, pada musim perayaan, kebakaran dikenal pasti berpunca akibat sikap dan kecuaian manusia yang mengambil mudah aspek keselamatan di rumah seperti terlupa menutup api dapur ketika memasak, penggunaan tenaga elektrik berlebihan akibat penyambungan terlalu banyak dan sebagainya.

"Masyarakat juga perlu memastikan setiap aktiviti dilakukan ketika memasak, berkelah, berkhemah malah ketika memandu dengan mengutamakan keselamatan untuk mengelakkan sebarang risiko kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh dua minggu operasi itu, pihak bomba turut melakukan 90 rondaan terutamanya di kawasan berisiko seperti jauh dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dan kawasan mempunyai jalan sempit selain menumpukan rondaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA). - Bernama