Pas tetap pertahan PN, kekal bersama MN: Abdul Hadi

Ahmad Zahid, Muhyiddin, Abdul Hadi
Ahmad Zahid, Muhyiddin, Abdul Hadi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas akan mempertahankan Perikatan Nasional (PN) dan dalam masa yang sama kekal bersama Muafakat Nasional (MN) dalam rangka Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu akan berusaha mempertahankan kedua-duanya iaitu gabungan parti politik dalam PN serta mengekalkan prinsip penyatuan ummah yang dimeterai menerusi piagam MN bersama UMNO.

"Agenda perpaduan ummah merupakan agenda terbesar yang akan kekal dipertahankan.

"Kita yakin akan menang (dalam PRU15) dengan mempertahankan PN dan masih kekal bersama MN," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Pas Terengganu, di sini, pada Khamis.

Difahamkan, Abdul Hadi sebelum itu menghadiri mesyuarat Dewan Harian Badan Perhubungan Pas Terengganu.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, keyakinan PN untuk menang dalam PRU15 berdasarkan prestasi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Melaka dan Johor yang menunjukkan peningkatan undi lebih 100 peratus.

Beliau berkata, pada dasarnya agihan kerusi bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah dibincangkan bersama.

"Agihan kerusi pada PRU15 masih belum mencapai kata sepakat dan kita masih belum tahu lagi. Pada dasarnya sudah ada perbincangan agihan kerusi bersama Bersatu bagi mengelak pertembungan.

"Ya, kita ada formula untuk elak pertembungan kerusi sesama sendiri," katanya.

Minggu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) ibarat nyawa-nyawa ikan.

Katanya, masa depan dan hubungan MN akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa kedua-dua parti.