Cacar monyet: Melaka perketat pemeriksaan kesihatan di pintu masuk

Kes cacar monyet. - Gambar hiasan
Kes cacar monyet. - Gambar hiasan
A
A
A

JASIN - Kerajaan negeri Melaka mencadangkan kepada Kementerian Kesihatan supaya mewajibkan saringan kesihatan di setiap pintu masuk negara terutamanya bagi pengunjung dari negara yang mempunyai kes virus cacar monyet (monkeypox).

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah itu bagi mencegah penularan virus itu daripada memasuki Malaysia melalui saringan seperti pengesanan suhu badan sama ada demam, pemeriksaan fizikal pada kulit dan sebagainya.

"Kita bukannya mahu menghalang pengembara dari negara-negara mempunyai kes penyakit tersebut tetapi ia perlu dilakukan dengan lebih teliti supaya dapat menghalang virus cacar monyet masuk ke negara ini.

"Penyakit ini dapat dilihat melalui mata kasar sekiranya terdapat simptom yang mencurigakan dan pelancong terbabit perlu diasingkan dan diperiksa oleh doktor di klinik di pintu masuk," katanya pada sidang akhbar Kejohanan Muay Thai Terbuka Merlimau di Lipat Kajang di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal juga menasihatkan masyarakat untuk menghentikan penyebaran berita tidak sahih yang ditularkan dalam laman media sosial mengenai virus tersebut bagi mengelak ia mencetus rasa panik dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal berkata, kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Melaka pada minggu epid (ME) ke-21 telah menurun kepada 400 kes berbanding 600 kes pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata, 96.3 peratus golongan kanak-kanak yang dikesan dijangkiti HFMD di negeri ini dirawat sebagai pesakit luar dan pihaknya menjangkakan kes itu akan menunjukkan trend penurunan pada minggu seterusnya.

"Kesedaran ibu bapa mengenai penyakit ini juga semakin tinggi selain usaha pencegahan dijalankan pelbagai pihak serta nasihat kepada pengusaha Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) selain promosi penjagaan diri telah membuahkan hasil," katanya. - Bernama