X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Banjir Sekinchan: Pengerusi JPKKP UMNO setuju potong elaun

Jamal (kiri) beramah mesra bersama salah seorang penduduk yang terkesan akibat banjir kilat di Sekinchan pada Rabu.
A
A

SEKINCHAN - Semua 25 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) UMNO Bahagian Sungai Besar bersetuju menyalurkan 50 peratus elaun mereka kepada tabung darurat UMNO bahagian itu bagi membantu mangsa banjir di Sekinchan.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, setiap pengerusi JPKKP menyumbang elaun selama lima bulan bermula Januari lalu hingga Mei ini.

"Kita jangka pengerusi JPKKP akan menerima elaun mereka yang tertunggak pada hujung bulan (Mei) ini.

"Saya dimaklumkan mereka bersetuju menyerahkan separuh daripada elaun mereka untuk membantu mangsa yang terkesan akibat musibah (banjir) yang melanda rumah penduduk semalam (Rabu)," katanya kepada Sinar Harian selepas melawat mangsa banjir di Sekinchan pada Khamis.

Jamal berkata, UMNO Bahagian Sungai Besar juga akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada tabung berkenaan.

Katanya, pihaknya menyasarkan sebanyak RM100,000 dikumpul bagi menambah tabung bencana itu yang boleh digunakan dalam keadaan kecemasan.

"Kita juga sedang menggerakkan usaha untuk mencari dana lain sama ada melalui pihak korporat dan agensi lain bagi membantu kami menyalurkan bantuan kepada penduduk," ujarnya.

Selain itu, katanya, bagi memudahkan penyaluran bantuan, pihaknya akan menubuhkan pasukan petugas diketuai Pengerusi JPKKP dan 10 ahli jawatankuasanya.

Menurut Jamal, pendekatan itu dilihat lebih proaktif dalam membantu penduduk terutama jika berlaku bencana seperti itu pada masa depan.

"Fungsi pasukan petugas ini bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk yang ditimpa kesulitan akibat bencana misalnya membantu mereka membeli zink, bumbung, membayar upah tukang dan membaik pulih segera kerosakan," jelas beliau.

Dalam pada itu, Jamal menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencari jalan penyelesaian bagi menangani kejadian banjir kilat di kawasan itu berikutan ia terletak berhampiran pantai.

Ujar beliau, kawasan itu sering mengalami banjir kilat berikutan berada di kawasan rendah lebih-lebih lagi berlaku pertembungan hujan lebat dan fenomena air pasang besar.

"Kita dapati ada aduan berhubung salah satu ban yang menjadi laluan air tersumbat, penduduk sudah membuat aduan tetapi belum ada sebarang tindakan.

"Kita harap ia dapat diselesaikan segera kerana bimbang jika hujan berterusan dan berlaku fenomena air pasang besar kejadian sama mungkin berulang," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!