Perdana Menteri dijangka rasmi tilawah al-Quran peringkat kebangsaan

Idris (dua dari kiri) dan Onn Hafiz (tengah) melancarkan Prapelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah /2022 Masihi di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru pada Khamis.
Idris (dua dari kiri) dan Onn Hafiz (tengah) melancarkan Prapelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah /2022 Masihi di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka merasmikan pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1443 Hijrah/2022 Masihi di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini pada 12 Jun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, MTHQK di Johor akan dipastikan menjadi penganjuran terbaik pasca Covid-19.

"Selepas lebih dua tahun dilanda Covid-19, majlis ini akan menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat untuk mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh qari dan qariah.

"Pelaksanaan majlis yang menjangkau puluhan tahun ini dilihat berupaya menyatukan hati-hati dalam kalangan umat Islam daripada seluruh negeri dan Keluarga Malaysia amnya untuk berkumpul memartabatkan syiar Islam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Prapelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah /2022 Masihi di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini pada Khamis, yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Seramai 42 peserta lelaki dan 42 peserta perempuan dari 14 negeri akan menyertai MTHQK Johor 2022 yang berlangsung mulai 9 hingga 18 Jun ini.

Majlis perasmian penutup dan pengurnian hadiah MTHQK Johor 2022 akan disempurkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 17 Jun.