Penyelia Rela dipenjara 14 hari, denda RM10,000 buat tuntutan palsu

Vijaiyan (tengah) di Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis.
Vijaiyan (tengah) di Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang penyelia Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dihukum penjara 14 hari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan membuat tuntutan penugasan palsu daripada jabatan berkenaan, tahun lalu.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S Vijaiyan, 56, selepas dia membuat pengakuan bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penyelia Rela Seremban telah mengemukakan Borang Tuntutan Elaun Penugasan Rela bagi penugasan di sebuah pusat kuarantin Covid-19 atas nama seorang wanita bagi bulan November 2021 berjumlah RM960, walhal wanita itu tidak hadir bertugas pada masa dan tarikh yang dicatatkan.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Rela Daerah Seremban pada Disember 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama.

Selain itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh bagi enam pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah, selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta persetujuan pihak pendakwaan dan tertuduh untuk mengguna pakai TIC (Take Into Consideration).

Sebelum itu, peguam R Subash memohon hukuman paling minimum untuk anak guamnya yang perlu menanggung seorang isteri dan 12 orang anak.

Katanya, pengakuan salah tertuduh juga dapat menjimatkan masa mahkamah dan sepanjang proses siasatan dilakukan, tertuduh memberikan kerjasama.

"Tertuduh sudah berkhidmat dengan jabatan Rela selama 16 tahun dan mempunyai rekod yang cemerlang. Ini kesalahan pertamanya jadi pihak pembelaan merayu satu hukuman penjara paling minimum," katanya.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.