X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

1,000 kekosongan haji telah diisi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad -Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 1,000 kekosongan tawaran bagi mengerjakan ibadah haji yang ditolak bakal jemaah atas pelbagai faktor termasuk masalah kesihatan sebelum ini, telah diisi oleh individu di dalam senarai menunggu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, keutamaan mengisi kekosongan itu diberikan kepada senarai menunggu pada 2020 dan 2021.

"Setakat ini, pada peringkat pertama seramai 1,000 bakal jemaah haji menolak tawaran, maka kekosongan itu sudah pun diisi oleh jemaah di dalam senarai menunggu.

"Kekosongan itu turut diisi oleh mereka yang merayu untuk melaksanakan ibadah haji musim 2022.

"Untuk tawaran haji kumpulan kedua, surat tawaran sudah dihantar pada 10 Mei lalu dan Tabung Haji kini sedang mengemas kini jumlah bakal jemaah haji kumpulan berkenaan termasuk yang menolak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah /2022 Masihi di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini pada Khamis, yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Idris (tiga dari kiri) dan Onn Hafiz ( lima dari kanan) hadir Majlis Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah /2022 Masihi di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini pada Khamis.
Idris (tiga dari kiri) dan Onn Hafiz ( lima dari kanan) hadir Majlis Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 Hijrah /2022 Masihi di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar di sini pada Khamis.

Sebelum ini dilaporkan lebih 1,000 bakal jemaah haji Malaysia yang menerima tawaran mengerjakan ibadah itu bagi musim 2022, terpaksa menolak panggilan disebabkan pelbagai faktor termasuk masalah kesihatan.

Dalam pada itu, Idris berkata, Malaysia sehingga kini masih menunggu keputusan kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan untuk diberikan kuota tambahan 5,000 jemaah bagi musim haji 2022.

Kuota haji Malaysia bagi musim 2022 adalah 14,306 iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan peratusan sama terpakai kepada semua negara.

Seterusnya, Idris berkata, kerajaan berpuas hati dengan kelancaran pengurusan jemaah haji yang diuruskan pihak Tabung Haji yang turut mendapat pujian daripada kerajaan Arab Saudi.

Pada masa yang sama, beliau meminta bakal jemaah haji negara ini agar sentiasa menjaga kesihatan bagi memastikan kelancaran ibadah di Tanah Suci kelak.

Malaysia diberi kuota 14,306 jemaah iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan peratusan sama terpakai kepada semua negara.

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijangka berlepas pada 4 Jun depan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!