Malaysia-Kazakhstan bincang usaha perkukuh hubungan dua hala

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Kazakhstan terus berusaha memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang bersempena ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun ini.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan pada Khamis berkata, usaha-usaha berkenaan dibincangkan Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar dengan rakan sejawatnya dari Kazakhstan, Adil Tursunov, semasa lawatan kerjanya ke negara itu dari 22 hingga 25 Mei.

Bidang kerjasama yang dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pendidikan, kesihatan, kerjasama teknikal dan pembangunan modal insan serta hubungan rakyat dengan rakyat.

"Mereka turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa termasuk situasi di Afghanistan," menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, Kamarudin turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Perdagangan dan Integrasi Republik Kazakhstan, Kairat Torebayev, dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa dan Pertahanan, Parlimen Kazakhstan, Kuspan Aigul Sayfollakyzy.

"Malaysia telah membangkitkan perkara-perkara berkait rapat dengan perkembangan hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara," katanya.

Kazakhstan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Asia Tengah. Bagi tahun 2021, dagangan dua hala mencatatkan nilai AS$99.28 juta (RM410.32 juta) dengan import berjumlah AS$10.80 juta (RM44.50 juta) dan eksport AS$88.49 juta (RM365.82 juta).

"Lawatan kerja Timbalan Menteri Luar ke Kazakhstan telah berjaya menyumbang ke arah mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara," kata kenyataan itu. - Bernama