X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

PIDL perpustakaan Islam maya kini dibuka

Ahmad Fuzi (empat dari kanan) merasmikan PIDL di Kitab, Georgetown pada Khamis.
A
A

GEORGETOWN - Sebuah perpustakaan Islam secara maya berkonsepkan moden yang pertama di Pulau Pinang, Penang Islamic Digital Library (PIDL) kini dibuka untuk orang awam bermula Khamis.

Kemudahan yang menyediakan lebih daripada 1,500 bahan bacaan Islamik secara digital itu boleh dinikmati oleh pelajar, golongan profesional dan seluruh warga negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, PIDL adalah kesinambungan kepada kewujudan beberapa perpustakaan Digital Negeri Pulau Pinang iaitu Penang Digital Library (PDL) 1, PDL 2, PDL di Batu Maung dan PDL di Butterworth.

Menurutnya, semua kemudahan itu adalah salah satu daripada inisiatif agresif kerajaan negeri dalam mempromosi dan membangunkan pengajaran serta pembelajaran STEM (Science, Technology, Engineering dan Mathematics) dalam sasaran untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai salah satu pusat kecemerlangan sains dan teknologi yang unggul.

"Dengan kos sebanyak RM5 juta yang telah diperuntukkan oleh kerajaan Pulau Pinang melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), PIDL akan dikendalikan sepenuhnya oleh Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (Kitab) Pulau Pinang yang merupakan institusi pengajian tinggi Islam milik MAINPP.

"Sama seperti PDL sedia ada, kerajaan negeri berharap kemudahan PIDL ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar dan golongan profesional di segenap institusi serta seluruh warga Pulau Pinang sekali gus meningkatkan produktiviti, ilmu pengetahuan serta mempercepatkan usaha kita untuk memperkasakan matlamat dalam mewujudkan ekosistem dan komuniti pintar, berteknologi serta berpengetahuan tinggi," katanya.

Kon Yeow berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian PIDL dan Al-Hady Centre (AHC) yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Fuzi Abdul Razak di KITAB, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Pengerusi Lembaga Pengarah Kitab Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, penubuhan Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam Negeri Pulau Pinang dengan nama Al-Hady Centre (AHC) merupakan salah satu daripada 68 janji dalam Manifesto 'Saya Love Pulau Pinang' yang telah kerajaan janjikan kepada rakyat Pulau Pinang pada tahun 2018.

"Kerajaan negeri gembira dengan komitmen bersama yang telah dicurahkan oleh semua yang terlibat dalam merealiasikan janji ini.

"Bersesuaian dengan adanya PIDL sebagai pusat sumber maklumat secara digital, ia akan saling melengkapi fungsi dan peranan AHC sebagai sebuah entiti atau Pusat Tanggungjawab yang mengintegrasikan pemikiran serta ketamadunan Islam melalui aktiviti penyelidikan secara saintifik," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, komitmen yang telah digerakkan oleh KITAB merupakan usaha yang seiring dengan Gagasan Khaira Ummah 2030.

"Gagasan Khaira Ummah 2030 merupakan satu pelan pembangunan komprehensif umat Islam di Pulau Pinang yang bertujuan untuk mempersiapkan umat Islam yang terbaik untuk Pulau Pinang menjelang tahun 2030 bagi memberdayakan umat Islam di Pulau Pinang menerusi program pembangunan keilmuan, ekonomi, kekeluargaan, anak muda dan kerohanian.

"Bagi menzahirkan hasrat memenuhi visi Gagasan Khaira Ummah 2030, KITAB telah diberi amanah untuk menerajui teras Program-program Keilmuaan (Hikmah) dengan objektif untuk mengembalikan Peranan Pulau Pinang sebagai Pusat Pengembangan Ilmu Islam Serantau melalui tiga pendekatan iaitu Penubuhan Al-Hady Centre, Memperkasakan Pendidikan Islam dan Menganjurkan Seminar Literasi Undang-Undang," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!