'Saya tidak marah...'

Benzema
Benzema
A
A
A

KEPUTUSAN Kylian Mbappe untuk kekal bersama juara Ligue 1, Paris St Germain (PSG) berbanding menyertai juara La Liga, Real Madrid tidak mengundang amarah rakan sepasukannya dalam skuad Perancis, Karim Benzema.

Malah penyerang sensasi Real Madrid itu menegaskan bahawa tumpuan utamanya dan rakan sepasukan Los Blancos adalah perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool di Stade de France awal pagi Ahad.

“Mbappe? sejujurnya saya akan mengatakan fokus kini Real Madrid akan bermain menentang Liverpool dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara, dan ini bukan masa untuk bercakap tentang perkara kecil ini.

“Ya, saya lebih suka untuk tidak bercakap mengenai perkara ini. Saya tidak marah, sebaliknya fokus pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara.

"Sebaiknya beri tumpuan kepada persiapan pasukan bagi perlawanan penting daripada mendengar perkara lain," ujar Benzema.

Mbappe bintang muda Les Bleus berusia 23 tahun sebelum ini mengesahkan kekal di Les Parisiens selepas bersetuju dengan perjanjian lumayan yang mengekalkan kontraknya bersama juara Perancis itu sehingga 2025.

Untuk rekod, Real Madrid yang juga juara 13 kali kejuaraan berprestij kelab benua Eropah tersebut sedang bersiap sedia untuk misi merangkul menjulang trofi Liga Juara-Juara buat ke-14 kelab itu.

Sementara itu, selepas sidang media lanjutan kontraknya bersama PSG, Mbappe menegaskan dia masih boleh berpindah ke Real Madrid pada masa depan.

“Tidak pernah berakhir, cuma sekarang saya sudah menandatangani kontrak selama tiga tahun lebih bersama PSG. Anda tidak pernah tahu apa yang boleh berlaku pada masa depan kan?, " katanya.