Peniaga kekal berhati-hati, petunjuk keyakinan naik 3.5 peratus

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga kekal positif terhadap prospek perniagaan pada suku kedua 2022 walaupun pada kadar yang perlahan dengan petunjuk keyakinan dicatatkan +3.5 peratus berbanding +7.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, meskipun sempadan antarabangsa Malaysia dibuka semula yang dijangka merangsang aktiviti ekonomi, peniaga kekal berhati-hati terhadap prospek mereka di tengah-tengah tekanan inflasi, isu rantaian bekalan dan kekurangan tenaga kerja.

"Semua sektor kecuali sektor pembinaan menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih baik pada suku tahun kedua 2022.

"Sektor perdagangan borong dan runcit merupakan sektor yang paling optimistik terhadap prospek perniagaan mereka.

"Petunjuk keyakinan bagi perdagangan borong dan runcit meningkat untuk tiga suku tahun berturut-turut, dengan +15.5 peratus pada suku tahun kedua 2022 daripada +4.0 peratus pada suku tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi Suku Tahun Kedua 2022, pada Khamis.

Statistik ini adalah berdasarkan Survei Kecenderungan Perniagaan yang dijalankan secara suku tahunan.

Beliau berkata, sentimen yang lebih cerah dalam kedua-dua subsektor perdagangan borong dan subsektor perdagangan runcit menyumbang kepada peningkatan ini.

Sementara itu, katanya sektor perkhidmatan meramalkan keadaan perniagaan akan bertambah baik pada kadar sederhana dengan petunjuk keyakinan +5.6 peratus berbanding +11.1 peratus pada suku tahun lepas.

Beliau berkata pada masa sama, sektor industri menjangkakan prestasi perniagaan mereka berkembang pada kadar yang lebih perlahan pada suku tahun kedua 2022 sebanyak +0.8 peratus.

"Subsektor pertanian dan perlombongan khususnya menjangkakan keadaan perniagaan yang tidak menggalakkan pada suku tahun rujukan.

"Sebaliknya, petunjuk keyakinan bagi sektor pembinaan mencatatkan negatif yang lebih baik pada suku tahun kedua 2022 dengan -23.2 peratus berbanding -40.4 peratus pada suku tahun pertama 2022,” katanya.

Dari segi hasil kasar, 45.2 peratus responden meramalkan hasil kasar mereka meningkat pada suku tahun kedua 2022 manakala 19.0 peratus menjangkakan penurunan yang seterusnya mendorong kepada imbangan bersih +26.2 peratus.

Dalam masa yang sama, 35.8 peratus responden menjangkakan hasil kasar mereka tidak berubah.

Pada suku tahun yang sama, 72.2 peratus peniaga menjangkakan tenaga kerja mereka kekal sama walaupun imbangan bersih +10.8 peratus.

Sejajar dengan itu, 19.3 peratus peniaga berhasrat untuk mengambil lebih ramai tenaga kerja manakala 8.5 peratus merancang untuk mengurangkan tenaga kerja mereka pada suku tahun kedua 2022.

"Dalam tempoh enam bulan akan datang bagi tempoh April hingga September 2022, peniaga kekal optimistik terhadap prospek perniagaan mereka dengan imbangan bersih +25.0 peratus, meningkat sedikit berbanding +18.9 peratus yang dicatatkan sebelum ini.

"Sentimen yang lebih baik dalam sektor perdagangan borong dan runcit, industri dan perkhidmatan menyumbang kepada pandangan positif ini,” kata Mohd Uzir. - Bernama