X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Peter Anthony dipenjara tiga tahun, denda RM50,000

Peter Anthony
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Datuk Peter Anthony selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Azura Alwi juga memerintahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu menjalani hukuman penjara 15 bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Azura membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan hari ini selesai, namun memerintahkan denda RM50,000 itu dibayar hari ini.

Sebelum, peguam S. Devanandan yang mewakili Peter memohon penangguhan pelaksanaan kedua-dua hukuman itu.

Semasa rayuan terhadap hukuman, Devanandan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya.

"Dalam kes ini, anak guam saya telah memberi kerjasama sehingga akhir perbicaraan selain hadir ke mahkamah tanpa gagal kecuali kehadiran beliau dikecualikan. Dalam kes ini, Syarikat Asli Jati telah membantu ratusan pelajar UMS malah beliau juga telah banyak membantu pelajar-pelajar miskin di UMS," kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah memohon hukuman berbentuk pencegahan agar memberi pengajaran kepada masyarakat termasuk ahli politik dan penjawat awam bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan sedemikian.

Oleh itu, Haresh Prakash berkata, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dalam lingkungan tiga hingga lima tahun berserta denda antara RM30,000 dan RM50,000 terhadap tertuduh.

Tambahnya, dalam kes ini reputasi UMS sebagai sebuah universiti awam telah terjejas kerana kontrak yang diberikan kepada syarikat REMT Utama Sdn Bhd terpaksa ditarik semula.

"Syarikat tertuduh juga seperti telah ‘merampas’ kontrak kerja-kerja M&E di UMS yang pada asalnya diberikan kepada syarikat REMT Utama Sdn Bhd yang telah memenangi tender penyelenggaraan sistem M&E secara adil melalui tender terbuka.

"Bayangkan sekiranya REMT Utama menyaman UMS kerana tindakan berkenaan, dengan dana-dana yang diperuntukkan untuk pelajar terpaksa digunakan untuk membayar saman tersebut,” katanya.

Haresh Prakash berhujah, tertuduh telah merancang penipuan itu secara teliti sehingga mahu berjumpa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan projek berkenaan.

Beliau berkata, keterangan tertuduh telah mengesahkan bahawa tindakan melobi dan memohon sokongan melalui surat bagi mendapatkan projek dan tender adalah satu amalan biasa di negara ini.

"Namun ia dilihat amat menakutkan kerana ia datang daripada Peter yang merupakan seorang bekas menteri, iaitu bekas Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah,” katanya.

Menurut Haresh Prakash, akibat penipuan tertuduh, dua saksi pendakwaan iaitu saksi pendakwaan kelapan (SP8) Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS Profesor Dr Shariff Abdul Kadir S. Omang dan bekas Pendaftar UMS Datuk Abdullah Mohd Said (SP9) telah dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak UMS dan menanggung malu serta derita akibat tindakan berani daripada tertuduh.

"Tertuduh sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan projek tersebut tanpa mengambil kira akibat dan implikasi tindakannya terhadap individu lain,” katanya.

Tambahnya, tertuduh telah mengambil kesempatan terhadap niat baik SP8 dan pada masa yang sama telah mengakibatkan kerjaya SP8 sebagai seorang timbalan naib canselor tamat.

"Segala impian dan visi oleh SP8 sebagai timbalan naib canselor untuk universitinya telah hancur akibat penipuan tertuduh. Tindakan terdesak yang dilakukan tertuduh ini menunjukkan bahawa dia hanya berminat untuk mengaut keuntungan bagi dirinya dan telah berselindung di sebalik niat baik SP8,” katanya.

Sementara itu, Devanandan berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap hukuman pemenjaraan di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!