Tukang rumah maut motosikal terbabas dalam parit

Motosikal mangsa yang terbabas dan melanggar tiang lampu sebelum terjatuh dalam parit. (Gambar kecil: Nasrudin)
Motosikal mangsa yang terbabas dan melanggar tiang lampu sebelum terjatuh dalam parit. (Gambar kecil: Nasrudin)
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang tukang rumah maut selepas motosikal terbabas lalu terjatuh dalam parit di Jalan Solok Seberang Air Hitam Pantai, di sini, pada jam 11.25 malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata, mangsa yang merupakan warganegara Indonesia, Nasrudin, 49, dipercayai dari arah Padang Kambing menghala ke Tanjung Bidara.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian motosikal mangsa hilang kawalan dan melanggar tiang lampu jalan hingga menyebabkan mangsa terjatuh di dalam parit yang mengandungi air.

"Pihak penyelamat Bomba memberi bantuan untuk mengeluarkan mangsa di tempat kejadian namun mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Masjid Tanah.

"Mangsa kemudian telah di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau berkata, keadaan jalan lurus dengan sistem jalan satu lorong dua hala dan keadaan cuaca juga baik.

"Kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian penunggang sendiri dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.