Kes libas pedang samurai di lebuh raya video lama

Suspek merupakan seorang lelaki tempatan telah dituduh di mahkamah kerana menyerang pekerja lebuh raya berkenaan.
Suspek merupakan seorang lelaki tempatan telah dituduh di mahkamah kerana menyerang pekerja lebuh raya berkenaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tular klip video durasi 24 saat di laman sosial memaparkan seorang lelaki tempatan melibas sebilah pedang samurai ke arah pekerja lebuh raya yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook 'Joran Caster' merupakan kes pada 2018.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, video yang pernah tular beberapa tahun lalu itu dikesan telah dikongsi semula oleh pemilik akaun Facebook tersebut pada Rabu sekitar jam 9 malam.

"Hasil semakan mendapati kejadian sebenar berlaku pada tahun 2018 di Jalan Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur.

"Kes telah disiasat di bawah Seksyen 160/324/506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan suspek seorang lelaki tempatan telah ditangkap," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Muhammad Idzam berkata, suspek terbabit sudah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan berkenaan.

Katanya, tindakan menularkan kembali video tersebut akan mengelirukan dan menimbulkan keresahan dalam kalangan orang awam.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar serta video lama bagi mengelak kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

"Polis Cheras berharap agar orang ramai dapat memeriksa kesahihan gambar atau video yang tersebar di media sosial sebelum berkongsi dengan orang lain," ujarnya.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan berkaitan perkara berkenaan boleh dilakukan menerusi talian Polis Cheras 03-9284 5050/ 5051, atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.