Speedy Tigers mahu kekal rentak kemenangan

Speedy Tigers meneruskan rentak kecemerlangan dalam aksi Kumpulan B Piala Asia 2022 apabila menewaskan Korea Selatan 5-4 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Selasa lalu.
Speedy Tigers meneruskan rentak kecemerlangan dalam aksi Kumpulan B Piala Asia 2022 apabila menewaskan Korea Selatan 5-4 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Selasa lalu.
A
A
A

THE Speedy Tigers tetap mengambil serius perlawanan menentang Bangladesh dalam aksi Kumpulan B di Stadium Hoki Gelora Bung Karno pada Khamis, walaupun sudah mengesahkan slot kelompok Super Four Piala Asia 2022.

Malah menurut pengendali skuad hoki negara, Arul Selvaraj, para pemain negara sudah bersedia untuk meneruskan rekod cemerlang Speedy Tigers dalam dua perlawanan terdahulu apabila berdepan Bangladesh.

“Hari ini (Rabu), kita berehat dan petang esok kita akan bermain menentang Bangladesh untuk perlawanan ketiga kita setelah berdepan Oman dan Korea Selatan sebelum ini.

“Kita melakukan persiapan seperti biasa untuk perlawanan menentang Bangladesh, sama seperti dalam dua perlawanan sebelum ini dengan matlamat meraih kemenangan.

“Kami akan manfaatkan setiap perlawanan untuk baiki prestasi pasukan. Setiap perlawanan merupakan ujian dan peluang untuk meningkatkan diri daripada satu ke satu langkah," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Untuk rekod, Speedy Tigers menewaskan Oman 7-0 pada aksi pembukaan Isnin lalu sebelum menewaskan Korea Selatan 5-4 pada Selasa, menyaksikan skuad negara menerajui Kumpulan B dengan enam mata, sekali gus mengesahkan slot ke kelompok Super Four Piala Asia 2022.