Jabatan Kesihatan Negeri Pahang pantau HFMD di taska, tadika

Pegawai JKNP melakukan pemantauan di salah sebuah pusat asuhan sempena Operasi Bersepadu Pemantauan dan Penilaian Penyakit Berjangkit di sekitar Pekan, pada Selasa.
Pegawai JKNP melakukan pemantauan di salah sebuah pusat asuhan sempena Operasi Bersepadu Pemantauan dan Penilaian Penyakit Berjangkit di sekitar Pekan, pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melakukan pemeriksaan ke atas 66 pusat asuhan di Pekan melalui Operasi Bersepadu Pemantauan dan Penilaian Penyakit Berjangkit susulan peningkatan kes penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD) di negeri tersebut.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, dua kes bergejala melibatkan kanak-kanak berusia empat dan enam tahun telah dirujuk ke klinik berdekatan.

"Dalam operasi bersepadu melibatkan 10 pasukan dianggotai 29 pegawai dari JKNP dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan itu, beberapa isu yang boleh membawa kepada penularan penyakit berjangkit khususnya HFMD dikesan.

"Antaranya, ada ibu bapa masih menghantar anak bergejala atau tidak sihat ke taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika).

"Selain itu, amalan kebersihan tangan dan sanitasi masih rendah. Ada pusat asuhan tidak menyediakan bilik isolasi dan tidak melaksanakan saringan di pintu masuk," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Dr Nor Azimi berkata, beberapa penambahbaikan diambil termasuk melakukan pemantauan berkala di pusat asuhan, melaksanakan 'townhall meeting' sesi kedua peringkat daerah dan memperkasakan saringan di pintu masuk.

"Dalam operasi lalu, beberapa aktiviti dijalankan termasuk memberi penerangan berkenaan situasi dan aktiviti pencegahan serta kawalan HFMD.

"Penerangan turut diberi berkaitan penyakit berjangkit di kalangan kanak-kanak dan pengukuhan saringan kemasukan 'gate keeping' ke taska atau tadika," katanya.

Tambah beliau, edaran poster dan risalah HFMD, pengesan kes aktif (ACD) dan tunjuk cara proses disinfeksi serta sanitasi mengikut garis panduan ditetapkan turut dilaksanakan.

Sehingga 12 Mei lalu, sebanyak 1,288 kes HFMD direkodkan di Pahang dengan 138 kes atau 10.7 peratus dikenalpasti hasil dari penularan yang berlaku di 27 buah taska, tadika dan prasekolah seluruh negeri manakala 1,150 kes (89.3 peratus) berlaku secara sporadik.