Penembak sekolah rendah Texas beri amaran awal di Facebook

Seorang lelaki melutut di tepi tugu peringatan di tempat kejadian tembakan beramai-ramai di Sekolah Rendah Robb di Uvalde. - Foto EPA
Seorang lelaki melutut di tepi tugu peringatan di tempat kejadian tembakan beramai-ramai di Sekolah Rendah Robb di Uvalde. - Foto EPA
A
A
A

UVALDE - Gabenor Texas, Greg Abbot pada Rabu mendedahkan remaja berusia 18 tahun, Salvador Ramos memberikan amaran awal di Facebook bahawa dia akan melepaskan tembakan di sebuah sekolah rendah di Uvalde, pada Selasa lalu.

Abott berkata, Ramos membuat hantaran mesej itu sebelum dia tiba di sekolah tersebut.

Remaja itu kemudian melepaskan tembakan yang menyebabkan seramai 19 pelajar dan dua guru di Sekolah Rendah Robb, Uvalde terbunuh.

Menurut Abott, remaja tersebut menghantar mesej itu kira-kira kurang daripada 15 minit sebelum dia sampai ke sekolah itu.

Beliau berkata, Ramos juga menceritakan tentang niatnya untuk melakukan pembunuhan di Facebook.

Katanya, posting pertama yang dihantar itu ialah: "Saya akan tembak nenek saya.'"

Tambahnya, posting kedua ialah: 'Saya tembak nenek saya."

Ujarnya, posting ketiga ialah: "'Saya akan menembak sebuah sekolah rendah".

Abott berkata, remaja tersebut membuat hantaran ketiga kira-kira 15 minit sebelum dia tiba di sekolah tersebut.

Beliau juga memberitahu sidang akhbar bahawa lelaki bersenjata itu menembak muka neneknya sebelum menuju ke sekolah rendah itu.

Neneknya yang berusia 66 tahun kemudian dimasukkan ke sebuah hospital dan berada dalam keadaan kritikal.

Dalam kejadian itu Ramos mati ditembak oleh pegawai penguat kuasa undang-undang di sekolah tersebut.

Motif kejadian masih tidak diketahui.

Pihak berkuasa berkata Ramos ialah seorang pelajar yang tercicir dari sekolah menengah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau sejarah masalah kesihatan mental

Dia telah membeli dua raifal dan 375 butir peluru di kedai barangan sukan Oasis Outback di Uvalde pada bulan Mac lalu. - Agensi