HFMD semakin merebak, lindungi anak, amal SOP

Menurut portal rasmi MyHealth, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), HFMD adalah penyakit jangkitan kanak-kanak bawah 10 tahun dengan simptom atau gejala lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut. Gambar hiasan
Menurut portal rasmi MyHealth, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), HFMD adalah penyakit jangkitan kanak-kanak bawah 10 tahun dengan simptom atau gejala lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seminggu selepas meraikan Aidilfitri di kampung di Pekan, Pahang, Nur (bukan nama sebenar) menyedari anak bongsunya Nur Natrah Thihani, 2, mula demam panas selain terdapat ruam lepuh pada bahagian mulut, tangan dan kaki.

Kakak Natrah, Nur Naura, 5, seminggu kemudian pula demam serta mengalami ulser di mulut.

Risau dengan keadaan itu, Nur membawa kedua-dua orang anaknya itu ke klinik swasta yang berhampiran dan doktor mengesahkan mereka dijangkiti penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

"Doktor (di klinik) memberitahu saya ini antara gejala HFMD yang semakin menular dalam kalangan kanak-kanak di negara ini dan saya syak kemungkinan jangkitan ini berlaku semasa kami beraya di kampung. Saya dimaklumkan memang ada beberapa kes HFMD di kampung saya, " Nur berkongsi pengalamannya dengan Bernama baru-baru ini.

Menurut portal rasmi MyHealth, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), HFMD adalah penyakit jangkitan kanak-kanak bawah 10 tahun dengan simptom atau gejala lepuhan berisi air muncul di tangan, kaki dan dalam mulut.

Tekak dan tonsil membentuk ulser kecil manakala tangan, kaki dan kawasan lampin dijangkiti ruam dengan ciri-ciri vesikel (lepuhan kecil) dan akan sembuh dalam masa antara lima ke tujuh hari.

HFMD selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama dan akan merebak melalui tangan yang tidak dicuci bersih selepas melakukan penukaran lampin atau tersentuh air liur sekali gus menyebabkan virus berpindah daripada satu kanak-kanak ke kanak-kanak lain.

KES BERGANDA, JANGKITI KANAK-KANAK

Bagi tahun 2022, sehingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 20/2022, pada 21 Mei 2022, KKM melaporkan sejumlah 47,209 kes HFMD iaitu peningkatan sebanyak 20 kali ganda berbanding hanya 2,237 kes sehingga ME yang sama pada tahun 2021.

Sementara bagi ME 20/2022, jumlah kes yang direkod di seluruh negara adalah 15,548 kes berbanding ME 19/2022 iaitu hanya 7,526 kes, menunjukkan peningkatan sebanyak 106.6 peratus.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan KKM pada 24 Mei lepas, peningkatan kes pada ME 20 dijangkakan berikutan pergerakan penduduk Malaysia semasa sambutan hari raya.

Dalam kenyataan yang sama, daripada 47,209 kes, Selangor mencatat jumlah kes terbesar berbanding negeri lain iaitu 13,640 kes (28.9 peratus). Ia diikuti oleh WP Kuala Lumpur & Putrajaya sebanyak 6,206 kes (13.1 peratus), Perak 4,099 kes (8.7 peratus), Kelantan 3,726 kes (7.9 peratus) dan Sabah 3,352 kes (7.1 peratus). sementara negeri-negeri lain sekitar atau kurang daripada 2,500 kes.

Kes HFMD dilaporkan banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 43,736 kes (93 peratus), diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga 12 tahun iaitu 2,765 kes (6 peratus). Manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu 708 kes (1 peratus).

Berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) di Malaysia, tiga (3) virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun 2022, adalah Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71). Pada tahun 2022, sehingga kini, terdapat dua (2) kes HFMD positif EV71 yang dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis). Kedua-dua kes tersebut adalah kanak-kanak berumur bawah 6 tahun.

MEREBAK DI PUSAT JAGAAN KANAK-KANAK

Mengulas situasi ini, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Rafdzah Ahmad Zaki tidak menolak pengoperasian tadika, taska dan pusat jagaan kanak-kanak secara sepenuhnya bermula pada awal tahun 2022 mendorong kepada peningkatan kes HFMD.

Beliau berkata, keadaan itu pastinya berbeza berbanding dua tahun lepas apabila premis berkenaan tidak dapat beroperasi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

‘’Kes HFMD biasanya memang akan merebak dengan cepat dalam kalangan kanak-kanak. Sebelum ini kes kurang kemungkinan sebab pusat jagaan kanak-kanak, taska mahupun tadika ditutup atau tidak beroperasi kerana pandemik Covid-19, jadi kes menurun sepanjang tempoh itu.

‘’Selain itu, apabila tiada interaksi antara kanak-kanak jadi tiada jangkitan antara mereka sekali gus jangkitan virus ini amat rendah. Apabila premis ini dibuka, risiko untuk mendapat jangkitan adalah lebih tinggi kerana kanak-kanak lebih terdedah kepada virus HFMD ini,’’ katanya kepada Bernama.

Dr Rafdzah berkata jumlah individu yang ramai atau kepadatan penduduk di satu-satu lokaliti turut mempengaruhi kadar jangkitan penyakit tersebut sebagai contoh Selangor yang menyumbang jumlah kes terbesar seperti dilaporkan oleh KKM.

Turut bersetuju dengan jangkaan Dr Noor Hisham berhubung peningkatan kes HFMD sempena sambutan Hari Raya sebelum ini, Dr Rafdzah berkata sebarang aktiviti melibatkan interaksi rapat antara individu contohnya aktiviti ziarah sepanjang musim Aidilfitri dan rumah terbuka boleh meningkatkan risiko kadar jangkitan apabila pesakit bersentuhan dengan individu lain atau batuk dan bersin.

‘’Ibu bapa harus memastikan kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak terlibat dalam sebarang aktiviti sosial termasuk menghadiri rumah terbuka selain mereka ini perlu diasingkan bagi menghadkan risiko jangkitan kepada individu atau kanak-kanak lain,’’ katanya.

SATU CARA CEGAH PENULARAN

Sementara itu, Pakar Pediatrik Sunway Medical Centre Velocity Dr Melanie Majaham berkata, kanak-kanak seharusnya tidak disentuh sesuka hati oleh individu lain ketika menghadiri rumah terbuka kerana perbuatan menyentuh, mencium dan memegang sememangnya berisiko untuk golongan itu dijangkiti HFMD.

‘’Elakkan mencium atau memegang kanak-kanak. Ini adalah satu cara untuk mencegah penularan mana-mana jenis virus atau bakteria yang boleh berjangkit melalui air liur,’’ katanya, menambah amalan mencuci tangan menggunakan sabun dan sanitasi adalah kunci utama bagi membendung penularan HFMD.

Menurut Dr Melanie, kesedaran ibu bapa untuk meneruskan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 secara tidak langsung dapat membantu mencegah jangkitan HFMD.

‘’Ini kerana penggunaan sabun dan sanitasi secara kerap turut mematikan bukan sahaja virus HFMD dan Covid-19 tetapi juga virus lain yang biasa menjangkiti kanak-kanak,’’ katanya.

Pengusaha taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak juga perlu mengambil langkah proaktif memastikan kebersihan premis mereka sebagai langkah membendung penularan penyakit tersebut.

Proses sanitasi atau nyah kuman perlu kerap dilakukan sebelum dan selepas penggunaan peralatan termasuk di kawasan permukaan menulis dan alat permainan.

‘’Selain itu, saringan suhu badan dan simptom HMFD seperti ruam atau lepuhan di kulit, demam dan ulser mulut perlu dibuat di pintu masuk premis.

‘’Sekiranya terdapat kanak-kanak yang tidak sihat, disyorkan agar mereka menjalani isolasi di rumah. Komunikasi dua hala antara ibu bapa dan pihak sekolah juga membolehkan pihak sekolah memantau situasi sekiranya terdapat kanak-kanak yang telah dijangkiti HFMD,’’ katanya, menambah ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka minum air secukupnya.

Sekiranya kanak-kanak kelihatan lemah dan lesu, mengalami demam berterusan serta tidak mampu untuk makan serta minum, ibu-bapa perlu segera membawa anak mereka ke hospital bagi mendapatkan mendapatkan rawatan drip air.

‘’HFMD tidak mempunyai ubat yang khusus. Biasanya, kanak-kanak akan dirawat secara simptomatik dengan ubat demam, ubat semburan untuk mengebaskan ulser di dalam mulut dan memberikan rawatan drip air sekiranya kanak-kanak itu tidak dapat minum atau makan disebabkan oleh kesakitan mulut.

‘’Biasanya, simptom kanak-kanak boleh pulih sepenuhnya dalam masa tujuh ke 10 hari. Jangka masa untuk berjangkit biasanya adalah dalam minggu pertama jangkitan (HFMD). Terdapat juga segelintir individu yang boleh terus menjangkiti orang lain untuk tempoh berminggu-minggu selepas simptom sudah pulih,’’ katanya. - Bernama