Naik taraf Masjid Ar-Rahman Bandar Bachok beri manfaat 500 jemaah

Usaha naik taraf Masjid Ar-Rahman Bandar Bachok dijangka memberi manfaat kepada 500 jemaah setempat.
Usaha naik taraf Masjid Ar-Rahman Bandar Bachok dijangka memberi manfaat kepada 500 jemaah setempat.
A
A
A

BACHOK - Usaha menaik taraf Masjid Ar-Rahman Bandar Bachok di sini dengan pembinaan bangunan tambahan yang bernilai RM1.2 juta dijangka memberi manfaat kepada 500 jemaah setempat.

Pengerusi Masjid Ar-Rahman Bandar Bachok, Ahmad Fakhrurrazy Mohd Zin berkata, jumlah jemaah itu lebih tinggi berbanding hanya 100 jemaah yang dapat ditampung pada satu-satu masa di masjid sedia ada ketika ini.

Katanya, masjid tersebut dibina di atas tanah wakaf oleh orang ramai dan sudah berusia 10 tahun.

“Masjid perlu dinaik taraf dengan bangunan tambahan bagi memberi manfaat kepada para jemaah selari dengan keperluan semasa serta keselesaan untuk mereka melaksanakan sebarang aktiviti termasuk mendirikan solat.

“Bangunan tambahan itu dianggarkan bernilai RM1.2 juta akan dibina di atas tanah seluas 0.1 hektar yang dibeli dengan kos RM240,000 bersebelahan masjid sedia ada,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Akaun sumbangan kepada Masjid Ar- Rahman Bandar Bachok. - Foto: Ihsan Masjid Ar-Rahman
Akaun sumbangan kepada Masjid Ar- Rahman Bandar Bachok. - Foto: Ihsan Masjid Ar-Rahman

Mengulas lanjut, pihak masjid bagaimanapun belum dapat mencukupkan dana RM1.2 juta yang diperlukan bagi membina kemudahan tambahan tersebut.

“Pembelian tanah untuk mendirikan bangunan tambahan itu dilakukan menerusi kutipan sumbangan daripada orang ramai yang mengambil masa selama dua tahun.

“Setakat ini ada dana RM90,000 untuk mendirikan bangunan tambahan itu dan jumlah tersebut belum cukup kerana keseluruhan jumlah keseluruhan anggaran kos yang diperlukan adalah RM1.2 juta,” katanya.

Ujarnya, pembinaan bangunan tambahan Masjid Ar- Rahman Bandar Bachok dijangka selesai pada tahun 2025 dengan dilengkapi pejabat pentadbiran, dewan seminar, dewan serba guna dan bilik kuliah serta tandas tambahan.

“Selainnya, masjid juga memerlukan infrastruktur seperti tempat letak kereta jemaah, tempat aktiviti kemasyarakatan, tempat jamuan keraian dan tempat pengajian al-Quran,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Masjid Ar-Rahman, Bank Islam 03018010145186 atau Masjid Ar- Rahman Bandar Bachok, Bank Rakyat 1101594128.