Sumbangan politik punca rasuah sistem selenggara jalan raya

Azlan Sani
Azlan Sani
A
A
A

SHAH ALAM - Sumbangan politik merupakan antara faktor berlakunya rasuah dalam sistem penyelenggaraan jalan raya di negara ini.

Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi berkata, perkara tersebut menjadi sinonim dalam kalangan masyarakat ketika negara ini.

“Saya pernah bertanya kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara ini dan bagaimana cara untuk menghapuskan sumbangan politik.

“Saya diberitahu apa-apa akta perlu dibawa ke peringkat Parlimen, manakala dalam Parlimen pula semuanya orang politik.

“Jadi tahniah kepada kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang mahu membawa akta sumbangan politik ini ke peringkat kabinet untuk tindakan lanjut,” katanya pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Rasuah: Apa kaitan dengan jalan raya rosak’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panelis adalah peguam, Muhammad Amin Abdullah dan mangsa kemalangan jalan raya, Muhammad Azizi Abdul Manap manakala Hanif Miswan bertindak sebagai modertor.

Mengulas lanjut Azlan Sani atau lebih dikenali sebagai Lando berkata, antara faktor lain menyebabkan berlakunya rasuah adalah kelemahan sistem penyelenggaraan jalan raya yang perlu melalui pelbagai peringkat.

Justeru katanya, sistem berperingkat itu perlu dihapuskan agar tidak ada peluang untuk mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan rasuah.

“Selain itu juga pemantauan kerja penyelenggaraan jalan raya oleh pihak berwajib juga tidak berlaku di negara ini.

“Kalau di luar negara contohnya Australia, wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) akan ada di tempat penyelenggaraan, tetapi di Malaysia tidak ada wakil PBT yang datang dan tengok sendiri kerja membaiki jalan.

"Ia sepatutnya prosedur operasi standard (SOP), mesti letak nama syarikat yang menyelenggara,” ujarnya.