Banjir: 17 penghuni rumah jagaan warga emas diselamatkan

Saarani (dua dari kiri) bertanyakan khabar kepada sebahagian penghuni Rumah Sejahtera yang diselamatkan dalam kejadian banjir di Bidor.
Saarani (dua dari kiri) bertanyakan khabar kepada sebahagian penghuni Rumah Sejahtera yang diselamatkan dalam kejadian banjir di Bidor.
A
A
A

TAPAH - Seramai 17 warga emas terpaksa duduk di atas meja ketika menunggu pasukan penyelamat selepas rumah jagaan didiami mereka dinaiki air sehingga satu meter dalam kejadian di Bidor pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, mangsa terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 60 hingga 93 tahun berjaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Hwa di sini.

Pengerusi Rumah Sejahtera, Lee Then Sang berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata apabila air naik mendadak sehingga paras pinggang sekitar jam 5 petang.

Menurutnya, keutamaan diberikan kepada salah seorang penghuni, Lim Thin Seong, 75, yang baharu menjalani pembedahan di kaki akibat kencing manis.

"Saya terus membantu mengangkat beberapa penghuni ke tempat yang tinggi sementara menunggu pasukan penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bomba.

"Ini kejadian kedua berlaku selepas 2012. Saya lega apabila tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya membawa keluar semua penghuni dengan cara mendukung, memapah dan mengendung mereka," katanya ketika lawatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz.

Saarani berkata, berdasarkan laporan yang diterima, hampir keseluruhan daerah Muallim dan Batang Padang dilanda banjir akibat hujan berterusan.

"Kejadian turut berlaku di kawasan Felda Trolak Utara, Selatan dan Timur dan mereka yang terjejas ada dipindahkan ke dewan berhampiran.

"Begitu juga dengan kawasan Trolak Pekan dan Sungkai. Malam ini kita tinjau kawasan Batang Padang dan esok di Muallim," katanya.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada agensi terlibat yang berjaya menyelamatkan penghuni Rumah Sejahtera sebelum perkara tidak diingini berlaku.

"Rumah berkenaan menempatkan penghuni warga emas yang tidak berdaya kerana faktor kesihatan. Dengan kecekapan agensi terbabit, mereka dapat diselamatkan,

"Ada beberapa PPS sudah dibuka di kawasan Batang Padang ini," katanya.